Kategori Berita Utama

DAP dan PKR berbalah, PAS membisu pasal kereta Guan Eng

3 JAN: Ketika Lim Guan Eng mempertahankan keputusan pemilikan Mercedes Benz S 300L, rakan-rakan beliau saling berbalah dengan keputusan itu yang turut dikritik banyak pihak.

Jika Rabu, Pegerusi DAP, Karpal Sigh mempertahankan ‘hadiah tahun baru’ Ketua Menteri Pulau Pinang lain pula ceritanya dengan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. 

Dalam kenyataan yang dilaporkan portal fz.com, Rafizi menyifatkan pembelian kereta rasmi kerajaan negeri itu tidak kena pada masa dan memberikan publisiti yang buruk.

lgemercBeliau juga menyifatkan Guan Eng tidak sensitif dengan keadaan rakyat  yang terpaksa menanggung bebanan kos sara hidup yang tinggi pada tahun ini. 

“Saya rasa inilah sensitiviti yang perlu ditunjukkan oleh ahli politik dari semua pihak, sama ada BN atau Pakatan, kerana rakyat sedang mengharungi kesulitan hidup dan 2014 akan menjadi tahun yang amat sukar.

“Sementara nilainya amat baik, saya tidak rasa sesiapa pun mempersoal keputusan untuk membeli. Tetapi, saya berpendapat ia satu publisiti buruk yang membenarkan BN memanipulasi isu,” kata Rafizi.

Ahli Parlimen PKR Pandan itu berpendapat pembelian itu jelas tidak seiring dengan harapan dan persepsi rakyat yang mengharapkan wakil rakyat mereka berbelanja lebih berhemah, sebaliknya dengan pembelian kereta itu mempamerkan kemewahan Guan Eng selaku Ketua Menteri. 

Sebelum ini Karpal mempertahankan pembelian hadiah tahu baru itu sebagai satu hak keistimewaan yang layak diterima Guan Eng dan tidak sesiapa yang wajar mempertikaikan hak itu. 

“‘Hadiah’ Tahun Baru Guan Eng itu layak diterima sebab apa yang beliau terima melambangkan maruah dan statusnya selaku Ketua Menteri.

“Jangan pertikaikan hak keistimewaan yang diterima Guan Eng,” kata Karpal, Rabu. 

Kenyataan bercanggah pemimpin DAP dan PKR ini menunjukkan mereka tidak mempunyai kesepakatan serta mempunyai agenda yang tersembunyi.

Selepas menerima Mercedes tersebut, kenderaan rasmi Toyota Camry yang baru dua bulan digunakan Guan Eng diserahkan kepada Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Makhtar Shapee. 

Adakah ADUN PKR Sungai Bakap itu akan menerima kenderaan tersebut memandangkan kenyataan Rafizi yang mengkritik isu pembelian kereta mewah itu?

 DAP sudah keluarkan kenyataan menyokong pembelian kereta tersebut, PKR pula membantah pembelian itu dengan menyifatkan ianya tidak selari dengan keperitan yang ditanggung rakyat, apakah pendirian PAS? 

Mungkin juga PAS sudah bersedia untuk menjadi ‘pak turut’ buat kesekian kalinya ataupun mereka akan turun berdemo dengan berguling di hadapan kereta baru Guan Eng sebagai bantahan. -bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 January 2014 1:19 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: