Kategori Berita Utama

DAP lebih banyak berjanji kosong dengan rakyat P.Pinang

16 JUN: Kerajaan DAP Pulau Pinang dibidas kerana gagal mengotakan pelbagai janji sejak lapan tahun menguasai tampuk pemerintahan kerajaan negeri itu.

Naib Presiden Parti GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyelar Lim Kit Siang yang mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan prestasi hebat dan tidak mempunyai banyak masalah berbanding Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional.

“Hakikatnya DAP hanya membuat janji kosong kepada rakyat Pulau Pinang. Kenyataan Lim Kit Siang amatlah bercanggah dan dilihat hanya untuk menutup kelemahan DAP memerintah negeri itu sejak 2008.

“DAP tidak boleh mendabik dada mengatakan mereka tidak gagal menjadi kerajaan yang baik di Pulau Pinang, walhal banyak janji kosong mereka taburkan kepada rakyat selama ini. Mereka jangan mudah kritik kerajaan BN sahaja, tetapi kerajaan negeri yang diperintah mereka juga banyak masalah,” bidas Dominic.

Kata Dominic, selain tidak mendengar suara rakyat, banyak janji pembangunan retorik ditaburkan kepada rakyat Pulau Pinang antaranya ialah untuk membina sistem pengangkutan monorail di negeri tersebut.

“Sejak 2008, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengatakan Pulau Pinang akan membina sistem pengangkutan monorail dari bahagian pulau merentasi ke Seberang Prai, namun sampai sekarang tak nampak pun.

“Bukan itu sahaja, kerajaan negeri tidak memperdulikan suara hati rakyat dan beberapa tahun ini kita mendapat aduan daripada Penang Land Development yang DAP tidak mendengar masalah dan keluh kesah hati rakyat seperti penjualan tanah di Tanjung Bungah,” jelasnya lagi.

Malah menurut Dominic lagi, Ketua Menteri terus menabur janji kosong kepada rakyat Pulau Pinang dengan menaikkan tariff air sebanyak empat kali di negeri tersebut.

“Kita masih ingat lagi tahun 2009, Guan Eng berjanji dengan rakyat untuk tidak menaikkan tariff air. Tetapi sekarang apa sudah jadi? Tariff air dinaikkan dan ini bukan meringankan bebanan rakyat di negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Katanya lagi, Ketua Menteri itu telah banyak menunjukkan sikap cakap tak serupa bikin termasuklah dalam isu penjagaan alam sekitar, kebebasan media, hab pendidikan, menangani masalah banjir dan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

“Sampai sekarang tidak ada apa yang dilakukan Guan Eng. Sampai sekarang tidak nampak. Ini semua cakap tak serupa bikin.

“Lebih mengecewakan sudah dua penggal masalah banjir tidak dapat ditangani oleh kerajaan negeri. Ini belum lagi kegagalan kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, semuanya retorik dan janji DAP hanya kosong, cakap tak serupa bikin.

“Kerajaan DAP juga telah menaikkan cukai pintu, lesen perniagaan dan bayaran perkhidmatan dan cukai tanah walaupun sebelum ini berjanji tidak akan menaikkannya,” kata Dominic lagi.

Sehubungan dengan itu, Dominic berharap rakyat Pulau Pinang tidak mudah mempercayai pelbagai janji yang ditaburkan DAP kerana ini hanyalah ‘gula-gula’ untuk kepentingan parti mereka.

“Cakap sahaja tidak guna, tapi perlaksanaan gagal. Jelas kenyataan Kit Siang adalah retorik dan bersifat untuk menjaga kepentingan parti mereka. Kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng berjanji kosong,” selarnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 June 2017 5:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: