Kategori Berita Utama

DAP setuju Bajet 2018 untuk kesihatan, tapi perlu ditambah baik

7 NOV: Ahli Parlimen DAP Kepong Tan Seng Giaw menyokong dasar dan perlaksanaan kerajaan dalam Bajet 2018 tentang aspek kesihatan.

Namun ia memerlukan beberapa penambahbaikan supaya setiap dasar tersebut dilaksana dengan lebih telus dan dipertanggungjawabkan pada orang yang benar-benar layak.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada hospital yang terbengkalai sebelum ini serta gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Tiap-tiap kali ingin membina hospital, kenapa lantik kontraktor yang tak mampu? hairan, kita mesti telus dan akauntibiliti dan beritahu rakyat yang peruntukan RM1.4 bilion diguna dengan bersih dan jitu.

“Saya harap pihak kerajaan dapat mengkaji macam mana tender kontrak boleh disempurnakan supaya jangan ulangi kesilapan lagi,” katanya dalam program Bual Bicara Bajet 2018 isu Kesihatan di Parlimen, Selasa.

Antara projek yang pernah mempunyai masalah dahulu adalah pembinaan hospital di Shah Alam yang gagal dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.

Kata Seng Giaw lagi, projek pembangunan hospital perlu dipastikan tender terbuka dan telus supaya kontraktor yang mampu dilantik supaya tidak membazir wang dan masa.

Turut menjadi panel dalam program yang berlangsung selama sejam, Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Noor Azmi dalam masa yang sama turut bersetuju dengan kenyataan Seng Giaw kerana rakyat kini lebih sensitif pada perkara yang membabitkan peruntukan besar.

Bagaimanapun jelas Noor Azmi beliau yakin setiap pecahan yang dibuat kerajaan dalam aspek kesihatan adalah bagi mencapai matlamat yang disasarkan selaras dengan pembangunan negara pada 2020 nanti.

“Kerajaan sedar dalam hal ini, kita akui ada kelemahan dan mereka juga telah memikirkan cara untuk menyelesaikan. Sebab itu Malaysia adalah negara ketiga terbaik sedangkan tempat lain tak boleh capai kemajuan macam negara kita capai.

“Kita dah ada klinik 1 Malaysia, kita ada klinik desa, kita dah beri ubat ubatan RM1 , rakyat bawa balik ubat banyak dengan harga semurah itu, sebab itu saya kata ini adalah bajet yang terserlah inklusivitinya, komprehensif hemah dan bertanggungjawab,” jelasnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 November 2017 9:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: