Kategori Berita Utama

DAP tak perlu bermadah pujangga, cukuplah khianat PAS

23 JAN : DAP tidak layak untuk memerintah negara ini apatah lagi apabila parti itu mula bermadah pujangga dengan menabur kata-kata manis yang mereka mampu untuk menyelamatkan Malaysia.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata ini kerana DAP telah membuktikan mereka adalah parti yang tidak boleh diharap serta mempunyai agenda yang akan merosakkan negara.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak perlu bermadah dengan kata-katanya untuk menyelamatkan Malaysia. Pengkhianatan DAP terhadap PAS ketika kami dalam Pakatan Rakyat sudah cukup sebagai isyarat bahawa DAP bukan rakan politik yang baik bagi menggantikan BN dan menyelamatkan Malaysia.

“Agenda anti Islam DAP juga tidak mungkin dapat diterima oleh PAS. Ia akan merosakkan kerangka negara Malaysia,” kata Khairuddin dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau DAP boleh mengajak mana-mana parti yang boleh berkompromi dengan dasar sosialis dan pragmatik mereka tetapi bukan dengan PAS.

Mungkin Parti Amanah Negara (PAN) adalah parti yang sesuai buat DAP yang mana merupakan parti serpihan PAS yang setia kepada mereka.

“Tetapi PAS akan terus bergerak dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara ini,” katanya.

Semalam, Kit Siang dalam satu kenyataan berkata beliau sanggup bergabung dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selepas perpisahan pahit antara DAP dan PAS akibat hudud dua tahun lalu.

Kit Siang yang Penasihat  DAP berkata mereka boleh bekerjasama sekali lagi jika presiden PAS itu sedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.

“Jika presiden PAS bersedia untuk memuktamadkan perjanjian yang keutamaan teratas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ialah menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia dan negara gagal dan jahat, saya bersedia bekerjasama dengannya.

“Itu akan menjadi agenda negara bagi tempoh lima hingga 10 tahun. Adakah Hadi sedia membuat komitmen itu?” soalnya.

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 23 January 2017 12:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]