Kategori Berita Utama

DAP tak sentuh premis haram di P.Pinang sebelum 2008

12 OGOS: Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008 di negeri itu, kecuali mengganggu orang awam dan aliran trafik.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang menegaskan ia merupakan dasar kerajaan negeri diketuai DAP selepas parti itu mengambil alih pentadbiran pada 2008.

“Kami buat keputusan bahawa sebaik kami jadi kerajaan, semua bangunan haram atau penjaja haram tidak akan disentuh, kecuali ia mengganggu orang awam dan aliran trafik, sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.

“Kita tidak mengehadkan tempoh masa untuk penyelesaian yang baik di antara semua pihak,” katanya selepas hadir bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri menyatakan solidariti kepada EXCO kerajaan negeri, Phee Boon Poh di Perkarangan Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengakui, pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap mana-mana bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram selepas tahun 2008.

Terdahulu, beliau mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Boon Poh pada Jumaat bagi membantu siasatan kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Dakwa Ahli Parlimen Bagan itu, Boon Poh hanya melaksanakan dasar kerajaan negeri dan percaya wakil rakyat DAP itu tidak menerima sebarang suapan.

“Dalam kes ini, saya belum dapat maklumat terperinci, tetapi, yang saya tahu, kilang itu berada dalam tanah dia sendiri, bukan di atas tanah kerajaan tetapi tidak dapat kelulusan untuk operasi kilang.

“Kerana, ia dibina sebelum 2008, dan ini diuruskan oleh Boon Poh yang menjalankan dasar kerajaan negeri,” kata Guan Eng sambil menambah Boon Poh adalah antara EXCO yang paling kaya.

Boon Poh kini direman selama lima hari bermula hari ini.

Share This:




Berita Bertarikh pada 12 August 2017 9:09 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]