Kategori Berita Utama

Data simulator pilot dipadam: Polis siasat guna forensik komputer

19 MAC: Polis kini akan menggunakan kaedah forensik komputer bagi menyiasat kandungan di dalam simulator penerbangan pesawat milik Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang masuk hari ke 12, Rabu.

Ini kerana kebanyakan data dan maklumat di dalam simulator yang diambil pihak polis  dari rumah Zaharie yang kini dalam proses siasatan polis didapati telah dipadamkan sebelum beliau menerbangkan pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing 8 Mac lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak polis akan berusaha mendapatkan semula segala maklumat serta data yang telah dipadam itu.

“Apa yang dilakukan oleh pihak polis bukan untuk menuduh Kapten Zaharie atau memberi tekanan kepada keluarga (beliau) tetapi kita melakukan siasatan paling terperinci berdasarkan beberapa kemungkinan,” kata Zahid di Putrajaya.

H2O PAT PTU Anifah AmanSementara itu di ibu negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri dan pegawai kanan yang berkenaan mengenai kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370.

Perbincangan diadakan di pejabat Najib di bangunan Parlimen.

Najib turut memuatnaik gambar aktivitinya itu di akuan Twitter rasmi beliau.

“Berbincang mengenai pencarian MH370 dengan (Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri) Hishammuddin Tun Hussein dan (Menteri Luar Datuk Seri) Anifah Aman pagi ini.

“Turut hadir untuk memberikan penjelasan mengenai kawasan pencarian kita – yang telah diperluaskan kepada 2.24 juta batu persegi – ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Panglima Tentera Udara, polis, DCA (Jabatan Penerbangan Awam) dan MAS (Malaysia Airlines),” kata Najib dalam catatan terbaharu Facebooknya.

Dalam status Facebooknya, Najib turut berkongsi gambar semasa perbincangan itu yang menunjukkan Hishammuddin, Anifah, Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud.

Misi mencari pesawat MH370 jenis Boeing 777-200ER itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal masuk hari ke-12 sejak hilang pada 8 Mac semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 March 2014 4:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: