Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Gerakan dapat Presiden baharu

Datuk Mah Siew Keong dipilih sebagai Presiden baharu parti Gerakan pada Sabtu, setelah menumbangkan pencabarnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Teng Chang Yeow dalam pertembungan satu lawan satu.

Mah yang juga pemangku Setiausaha Agung Gerakan menjadi pilihan majoriti apabila memperolehi 1,086 undi dalam Persidangan Perwakilan Nasional ke 42 parti itu di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di Cheras.

Teng pula hanya mendapat 577 undi.

Datuk Mah Siew Keong - Presiden baharu Parti Gerakan

Datuk Mah Siew Keong – Presiden baharu Parti Gerakan

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden, penyandang, Dr. Cheah Soon Hai yang juga Pengerusi Gerakan Kedah, berjaya mempertahankan jawatannya.

Manakala tiga jawatan Naib Presiden dimenangi Asharuddin Ahmad, A.Kohilan Pillai dan Teo Eng Twe.

Jawatan Presiden Gerakan kosong selepas Datuk Chang Ko Youn, yang memangku jawatan itu sejak Mei lalu enggan mempertahankan jawatannya kerana mahu memberi laluan kepada pemimpin muda.

Mah berusia 52 tahun manakala Teng, 49.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Teluk Intan (1999-2008), bekas Ketua Pemuda Gerakan (2002-2008) dan pernah menjawat jawatan timbalan menteri.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama jawatan Presiden Gerakan dipertandingkan sejak 2005, di mana Presiden ketika itu, mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dicabar oleh timbalannya Datuk Seri Kerk Choo Ting.

Dr Lim bagaimanapun berjaya mempertahankan jawatannya untuk sembilan penggal berturut-turut, sebelum bersara pada April 2007 dan jawatannya dipangku bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden ketika itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dr Koh kemudiannya menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada Oktober 2008, sebelum bersara pada Mei tahun ini.

Persaingan untuk 18 kerusi Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan turut sengit apabila cuba direbut oleh 39 calon.

Seramai  2,298 perwakilan hadir pada pemilihan  kali ini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dipilih sebagai Ketua Pemuda Nasional yang baharu setelah menewaskan Oh Tong Keong pada pemilihan peringkat sayap pada Jumaat.

Keng Liang, 36 tahun, adalah juga seorang peguam manaala Tong Keong merupakan Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Pulau Pinang.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan pula dimenangi oleh Andy Yong Kim Seng, menewaskan pencabarnya, Teow Jit Meng.

Manakala Raja Muharimi Raja Muhamad, Eee Chin Oon dan Yap Wen Piau dipilih mengisi tiga kerusi Naib Ketua Pemuda Gerakan yang baharu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 October 2013 6:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: