Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

190 restoran, kedai makan diarah tutup

Kira-kira 190 restoran dan kedai makan di sekitar ibu negara telah diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setelah didapati kotor.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal berkata, jika Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL yang membuat pemeriksaan mendapati restoran atau kedai makan tidak menepati tahap kebersihan ditetapkan, ia akan diarahkan untuk ditutup sementara.

“Pengusaha diminta membersihkan restoran atau kedai makan semasa tempoh penutupan sementara. DBKL akan memeriksa semula tahap kebersihannya sebelum memberi kebenaran untuk beroperasi semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Gotong-Royong Bukit Bintang, Sabtu.

Menurutnya, DBKL membuat pemeriksaan berkala dan mengejut ke atas semua restoran dan kedai makan di ibu kota bagi memastikan permis itu menjual makanan bersih selain mengekang pembiakan tikus yang tidak terkawal di Kuala Lumpur.

dbklBeliau berkata, DBKL mahu memastikan restoran dan kedai makan di ibu negara berada pada tahap kebersihan yang tinggi terutama sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, Pasar Raja Bot di Chow Kit akan ditutup pada Selasa dan Rabu ini untuk operasi pembersihan.

Beliau berkata, operasi pembersihan itu akan dilakukan oleh DBKL dan Alam Flora Sdn. Bhd.

DBKL juga akan membersihkan Pasar Borong Selayang dan pihaknya masih menunggu tarikh sesuai daripada pihak peniaga, katanya.

Sementara itu, acara gotong-royong di Bukit Bintang yang dianjurkan Jawatankuasa Persekitaran Bukit Bintang diserta kira-kira 700 sukarelawan dari jabatan dan agensi kerajaan dan swasta termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, DBKL, Alam Flora, Persatuan Penduduk Kampung Malaysia Tambahan dan Sekolah Wesley Methodist Sentul.-9/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 November 2013 6:05 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: