Kategori Berita Utama

Debat: Nazri kecewa dihalang, ajak Tun M sama-sama hadir

21 MAC: Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan tetap akan hadir pada sesi debat bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Mac ini meskipun ia tidak dibenarkan polis.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kecewa dengan keputusan turut mengharapkan Dr Mahathir akan tetap hadir pada sesi perdebatan tersebut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dianggap sebagai hanya satu wacana dan bukan perhimpunan aman.

“Saya harap Tun Dr M pun pada 25 Mac ini akan datang, saya akan datang dan pergi ke tempat itu. Saya minta Sinar Harian teruskan, saya minta Tun datang, tempat yang sama, saya akan ada di sana.

“Ini bukan di bawah Akta Perhimpunan Aman. Ini wacana, saya tidak faham kenapa polis bersikap demikian. Saya sudah bercakap dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri tadi, dia akan semak kenapa polis menolak wacana,” kata Nazri.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen hari ini selepas Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk DCP Hasnan Hassan dalam satu kenyataan hari ini menolak penganjuran debat berkenaan atas empat sebab.

Menurut Nazri kebenaran untuk mengadakan wacana di Maktab Rendah Sains Mara, Kuala Kangsar telah diperolehi.

“Kalau sekalipun ia perhimpunan aman dan saya kena akur dengan Akta tersebut, tetapi saya dah minta kebenaran, saya ada surat daripada MRSM. Soal keselamatan banyak cara polis boleh lakukan untuk menjaga keselamatan.

“Ini kawasan saya, itu parlimen saya. Saya tak fikir ada pergaduhan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kebimbangan masyarakat setempat dan berkemungkinan berlaku pergaduhan antara beliau dan Dr Mahathir, Nazri berkata beliau memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.

Malah beliau dan Dr Mahathir tidak mungkin akan menghasut rakyat.

“Sebab itu saya sarankan penyokong UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan jangan datang.

“Saya beri jaminan tidak ada apa yang akan berlaku. Saya bukan nak bertinju dengan Dr Mahathir, bukan nak maki hamun. Dr Mahathir boleh tanya dan saya jawab, jangan takut saya kurang ajar, saya akan layan dengan baik, dia bos saya dahulu dan dia tua daripada saya, saya berjanji tidak berlaku kurang ajar,” tegas Nazri.

Pagi tadi, DCP Hasnan dalam satu kenyataan menolak pengajuran debat antara Nazri dan Dr Mahathir atas alasan kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan, lokasi debat merupakan satu tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3 APA 2012) dan polis telah menerima lapan bantahan-bantahan secara bertulis oleh orang awam dan penduduk sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan.

Share This:




Berita Bertarikh pada 21 March 2017 12:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]