Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Denda sehingga RM10,000 jika jual air zam-zam

9 DIS: Sesiapa disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam di negara ini.

Tindakan itu ekoran larangan yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi untuk menjual air tersebut di mana-mana kedai di seluruh Malaysia.

“Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 telah dirampas melalui hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, perkara ini telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa KKM.

Katanya pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.

Dr Noor Hisham berkata air zam zam diperoleh dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Pengimportannya memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad selepas berlepas dari Arab Saudi.

“Kementerian sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam memandangkan ia tidak dibenarkan di Malaysia,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 December 2017 3:15 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: