Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Didik ahli keluarga jadi pengguna internet beretika

24 FEB: Institusi keluarga digesa memainkan peranan utama dalam mendidik setiap anggotanya menggunakan internet secara beretika, kata isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, tanpa pengawasan ibu bapa, perkembangan watak serta keperibadian kanak-kanak bakal terganggu.

“Anak-anak lebih selesa meluah perasaan, mengurangkan tekanan, kesepian, kemurungan dan keresahan mereka di alam maya daripada di dunia realiti.

“Perkara ini merisaukan kerana anak-anak semuda usia dua dan tiga tahun sudah bermain gajet elektronik lain seolah-olah peralatan berkenaan yang menjadi pengasuh sementara ibu-bapa,” kata Rosmah hari ini.

Beliau berucap semasa merasmikan penutupan Hari Keselamatan Internet (SID) 2018 Edisi Malaysia di ibu kota.

Tambah Rosmah, walaupun kerajaan menyediakan panduan keselamatan siber kepada rakyat namun senjata paling berkesan adalah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk menangani ancaman siber.

“Anak-anak juga terdedah dan belajar mengguna bahasa kasar dan taktik buli selain berisiko direkrut menjadi penjenayah dan pengganas.

“Sekarang juga sudah berleluasa penyebaran maklumat dan berita palsu dengan tujuan memfitnah serta memalukan individu,” jelasnya.

Terdahulu beliau turut melancarkan ‘Buku Panduan Keibubapaan Siber’ yang boleh dimuat turun di laman web www.cybersafe.my.

SID disambut pada Februari setiap tahun, bagi mempromosi keselamatan internet, memupuk serta meningkatkan kesedaran orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan teknologi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 February 2018 8:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: