Kategori Berita Utama

Diskaun 50% tol LPT2 jika BN kekal di Terengganu

12 APRIL: Mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan, membina 20,000 unit rumah mampu milik, menurunkan bayaran tol Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hingga 50 peratus secara berperingkat dan menukar status rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada sewa kepada sewa beli adalah antara 20 tawaran dalam manifesto tambahan Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Hulu Terengganu dan Manifesto Tambahan BN Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata manifesto tambahan dengan tema ‘Masa Hadapan Kita Bina Bersama’ itu berteraskan lima aku janji.

Beliau berkata, lima aku janji yang digariskan itu ialah untuk memartabatkan Islam dan keharmonian beragama; meningkatkan usaha meringankan beban rakyat, membina generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) ke arah Revolusi Industri 4.0; memperkasa pendidikan sebagai asas kecemerlangan sumber manusia serta menyerlahkan lagi pembabitan aktif golongan wanita dalam pelbagai bidang.

Katanya, BN Terengganu juga berhasrat membina rumah PPR di setiap daerah, menjadikan sukan bermotor dan sukan elektronik (e-sukan) sebagai sukan berimpak tinggi, memperluaskan bantuan Program Transformasi Gerai untuk penjaja kecil serta memperkenalkan kad harga patut kepada mereka dalam senarai sistem e-Kasih, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal dan anak yatim.

“Kita juga berhasrat mewujudkan Pusat Tahfiz Darul Iman di setiap daerah, memperkasakan pusat pengajian agama harian untuk golongan dewasa, memperluaskan program jualan sentuhan rakyat serta meningkatkan pembabitan wanita dalam pentadbiran kerajaan negeri dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

“Selain itu, BN Terengganu juga komited untuk membina sekolah rendah imtiaz, meluaskan rangkaian pengangkutan awam di kawasan tumpuan ramai, mewujudkan pusat pemindahan banjir bersepadu (P2B), menyediakan pusat sehenti JobsTerengganu, membina LPT3 dan mewujudkan pusat haemodialisis di setiap daerah,” katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi BN negeri berkata, sepanjang 2014 hingga tahun ini, sebanyak 144 cerita kejayaan dicatatkan negeri itu yang berada di bawah pentadbiran BN.

“Ia meliputi 39 cerita kejayaan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan (21); sosial dan keagamaan (33); pembangunan fizikal (15) dan sukan (36).

“Justeru, tiada sebab untuk rakyat menolak BN, kerana selain banyak cerita kejayaan, kita juga istiqamah menjaga maqasid syariah, mempunyai rekod pentadbiran dan kepimpinan yang baik; berpengalaman mengurus tadbir negeri ini dan bersungguh dalam membantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Razif berkata, situasi semasa menunjukkan BN akan terus menerajui Terengganu selepas PRU14.

Katanya, ia berdasarkan sokongan diterjemahkan rakyat terhadap segala usaha mempergiatkan jentera pilihan raya di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dilancarkan parti.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari dalam ucapannya berkata, Hulu Terengganu optimis menjanjikan kemenangan empat-satu untuk PRU14.

Jailani berkata, seluruh jentera dan kepemimpinan UMNO perlu bersiap siaga untuk memberi kemenangan kepada semua calon yang dipilih bertanding.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 April 2018 5:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: