Kategori Berita Utama

DoJ hentikanlah buat kenyataan, jika ada bukti kukuh dakwalah

18 JUN: Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat diseru tampil berani untuk membuat pendakwaan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam setiap saman sivil yang dikemukakan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, tindakan DoJ yang berterusan memberi kenyataan susulan beberapa tindakan saman yang dipercayai berkaitan 1MDB, tanpa ada pendakwaan individu yang terlibat boleh dipertikaikan.

“Dengan melakukan kenyataan demi kenyataan, akhirnya kreadibiliti DoJ itu sendiri boleh dipertikaikan.

“Jangan membuat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.

“Saya nak nasihatkan kepada DoJ, kalau mereka mempunyai bukti-bukti kukuh, dakwalah….

“Bila mereka dakwa, orang yang mereka dakwa itu ada ruang untuk mendapatkan pembelaan dan keadilan untuk membersihkan nama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan taklimat panduan PRU ke-14 UMNO, di PWTC Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, tindakan DoJ ini telah mengundang pihak tertentu mengambil kesempatan dengan membuat pelbagai persepsi buruk dan jahat yang menjejaskan kredibiliti pemimpin negara.

“Nampak ramai pihak tertentu menangguk di air keruh kenyataan DoJ ini,” jelasnya.

Jumaat lalu, DoJ membuat satu saman sivil berkaitan 1MDB bagi merampas aset bernilai AS$540 juta, iaitu yang ketiga dilakukan selepas kali pertama badan itu berbuat demikian pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah membuat laporan polis berikutan saman sivil terbaru dikemukakan DoJ ini dipercayai didalangi empat individu dari negara ini dengan niat memburukkan imej Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai empat individu tersebut, Hishammuddin menjelaskan setakat ini tiada tindakan melucutkan kerakyatan mereka.

“Apa yang menjadi tumpuan kita, DoJ mesti membuat pendakwaan supaya tidak ada lagi timbul mereka yang mengambil kesempatan ini dan membuat persepsi buruk kepada kepimpinan negara,” jelasnya lagi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 18 June 2017 2:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]