Kategori Berita Utama

Mahathir cuba singkir pengaruh Anwar dalam HARAPAN

13 SEPT: Konflik dalaman pembangkang semakin hangat apabila Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir didakwa sedang cuba menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan (HARAPAN)

Malah, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail juga menganggap pergesaran sesama mereka berkemungkinan mewujudkan perpecahan pimpinan HARAPAN yang dianggotai PKR, PAN, PPBM dan DAP.

“Saya lihat, ada yang tidak kena apabila Dr Mahathir bertindak mengkritik Anwar secara terbuka. Beliau tidak akan mengkritik secara terbuka sebegitu, jika tidak ada sebab.

“Apa yang menariknya di sini, dalam keadaan PKR hampir karam, tiba-tiba Dr Mahathir muncul di pertengahan jalan dengan melontarkan satu kritikan secara terbuka yang bisa menjatuhkan kredibiliti Ketua Umum PKR.

“Pada masa sama, saya melihat tindakan bekas perdana menteri itu, sama seperti modus operandi beliau mengkritik Najib dan juga Tun Abdullah Badawi sebelum ini, apabila beliau mahukan kedua-dua pemimpin ini meletakkan jawatan,” lapor UMNO Online, hari ini.

Minggu lalu, Anwar yang juga Ketua Umum HARAPAN mengutus warkah yang menyebut bahawa beliau menyokong rundingan dengan PAS yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Tindakan itu menyebabkan Dr Mahathir melabelkan warkah itu sebagai pembawa masalah dalaman kepada pakatan pembangkang.

Sementara itu, Zein yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menyifatkan segala konflik dalam pakatan pembangkang merupakan satu isyarat yang jelas kepada rakyat, bahawa HARAPAN tidak mampu untuk menjadi sebuah kerajaan yang stabil jika mentadbir negara.

“Apa akan jadi pada negara jika kita berikan mereka mandat, mereka terus menerus  bertelagah sesama sendiri dalam soal-soal pokok negara bangsa, soal pembahagian kuasa dan soal pentadbiran negara?

“Apakah jaminan mereka jika diberikan kuasa, segala konflik dalaman dan pertelagahan sesama mereka dapat di selesaikan?

“Justeru itu saya berharap agar rakyat berfikir secara rasional dalam memberikan mandat kepada mana-mana parti politik untuk mentadbir negara,” katanya

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 September 2017 8:35 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]