Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Dr.Mahathir tidak kenang jasa jika pilih Kubang Pasu

6 JAN: Kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Parlimen Kubang Pasu atas tiket pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), membuktikan Pengerusi PPBM itu tidak menghargai sokongan pengundi kawasan itu kepada beliau selama ini.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, berkata selama 30 tahun pengundi kawasan Parlimen itu menyokong bekas Perdana Menteri terbabit yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sehingga mampu bertahan sebagai Ahli Parlimen Kubang Pasu selama tiga dekad sejak 1974.

“Jika benar Tun Mahathir ingin kembali ke Kubang Pasu sebagai calon pembangkang, ia bakal mendatangkan situasi kurang senang kepada pengundi di situ yang selama ini bersusah payah dengannya.

“Kita rasa sedih dengan apa yang berlaku di Kubang Pasu sebab tak sangka jadi sampai macam ini (Mahathir sanggup kembali atas tiket pembangkang)…ia amat malang kepada politik negara dan pengundi Kubang Pasu kerana dulu mereka sokong dia, tetapi sekarang nak kena lawan dia pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran permainan dalam talian ‘Camp Warriors’ Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini.

Camp Warriors dibangunkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berasaskan permainan strategi perang khusus bagi alumni PLKN dan ia boleh dimuat turun melalui Google Play atau Apple Store.

Mohd Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, berkata Mahathir seharusnya memikirkan susah-payah pengundi kawasan itu yang sama-sama membantunya di Parlimen terbabit selepas kalah di Kota Setar Selatan ketika PRU pada 1969.

“Kalau dilihat dari faktor demokrasi, sekiranya Mahathir nak bertanding juga di Kubang Pasu itu adalah hak masing-masing.

“Bagaimanapun selepas 30 tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kubang Pasu sejak 1974, Mahathir semestinya mempunyai nilai sentimental dalam kalangan pengundi di Parlimen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir yang kesediaan bertanding dalam PRU-14 membabitkan satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

“Kami bukan sahaja siang malam bekerja demi rakyat dan untuk rakyat tetapi segala pengorbanan adalah untuk kesejahteraan mereka. Pembangkang seperti biasa hanya retorik dan mempergunakan segala usaha serta jasa kami untuk mendapatkan nama baik. Ibarat, ‘lembu punya susu, sapi dapat nama,” tegasnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 January 2018 5:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: