Kategori Berita Utama

Ekonomi Malaysia kekal kukuh jika BN menang, kata pelabur

16 APRIL: Beberapa penganalisis dan pelabur dana mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal kukuh sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selain itu, dagangan ringgit diramal mencatat keuntungan dalam marjin kecil sekaligus mengekalkan status quo dasar ekonomi Malaysia yang diperintah parti sama sejak enam dekad lalu.

Laporan Bloomberg yang memetik timbalan ketua di BNP Paribas Asset Management, Jean-Charles Sambor berkata kemenangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN dalam pilihan raya dianggap sebagai satu senario bagus.

“Ini petanda positif bagi aset dan kami melihat bon mata wang tempatan Malaysia sebagai masih kurang dimiliki orang asing.

“Pasaran mahu melihat kesinambungan politik dan dasar,” katanya.

Manakala penganalisis Malayan Banking Bhd berkata mata wang Malaysia mungkin mengukuh sebanyak 1.5 peratus jika Najib dipilih semula sebagai ketua negara.

Khoon Goh, ketua penyelidikan Asia di Australia & New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) di Singapura, berkata sekiranya BN menang, ringgit akan mencatat keuntungan kecil, kerana ia sudah mengukuh sedikit sebelum ini.

“Kemenangan itu akan mengekalkan status quo dasar ekonomi Malaysia,” katanya.

Pengundian PRU14 akan diadakan pada 9 Mei depan yang menyaksikan pertembungan antara Najib dengan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menerajui Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif di Alpari Research and Analysis (UK) di London, Roberto D’Ambrosio melihat kemenangan pembangkang dalam pilihan raya berkemungkinan menjejaskan sedikit kestabilan pasaran.

“Pasaran mungkin bertindak balas dengan cara negatif, walaupun fokus akan tertumpu kepada asas ekonomi negara yang akan kekal tidak terjejas,” katanya.

Bagi Goh dari ANZ, memandangkan pembangkang tidak pernah menang, ia akan dilihat sebagai satu kejutan besar buat pasaran.

“Ini mungkin menyaksikan reaksi awal dengan ringgit menjadi lebih lemah,” katanya.

Bagaimanapun Adrogue dari firma Baring, Boston menolak perubahan parti pemerintah dalam sesebuah negara sebagai sesuatu yang buruk.

“Dalam kes Malaysia, pembangkang belum memerintah negara pada masa lalu dan satu-satunya ketidakpastian bagi pelabur iaitu bagaimana pembangkang akan memerintah.

“Tetapi ini tidak semestinya negatif,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 April 2018 7:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: