Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Enggan pindah: AirAsia akan dipanggil JK Parlimen

2 APR: Kementerian Pengangkutan enggan mengulas mengenai keengganan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia dan Air Asia X berpindah dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) biarpun terminal itu akan menghentikan operasi 9 Mei ini.
AirAsia dijangka akan dipanggil tidak lama lagi oleh jawatankuasa parlimen untuk memberikan pandangannya mengenai lapangan terbang baru itu.
“Saya tidak boleh komen dulu. Kita tunggu hari itu,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi seperti dilaporkan oleh Bernama.LCCT akan menamatkan operasi pada tarikh itu apabila kerajaan memindahkan semua agensi berkaitan seperti imigresen dan kastam berpindah ke lapangan terbang baru, KLIA2.

AirAsiaKetua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd, Aireen Omar semalam berkata, semua operasi AirAsia dan AirAsia X akan terus kekal di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) walaupun ia ditutup selepas 9 Mei.
Aireen dalam kenyataannya berkata, walaupun AirAsia bersedia pindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), namun perpindahan itu hanya akan dilakukan selepas semua isu diatasi.
Aireen berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman Abdul Aziz  bahawa LCCT akan ditutup menjelang 9 Mei 2014 bagi memudahkan pembukaan KLIA2.
Kenyataan CEO AirAsia hari ini memberi gambaran seolah-olah syarikat penerbangan tambang murah itu boleh memilih sama ada untuk mematuhi arahan kementerian bertanggungjawab atau tidak mengendahkannya.

Aireen merujuk kepada kajian Ikram Premier Consultings mengenai tahap kesediaan KLIA2 baru-baru ini yang menunjukkan ada lekukan di landasan yang memerlukan langkah pemulihan berkala.

“Keadaan ini akan menjejas operasi penerbangan hab seperti kumpulan AirAsia yang mempunyai kira-kira 400 pergerakan pesawat sehari dan sekurang-kurangnya 70 pesawat miliknya di LCCT,” kata Aireen.

Selain itu, Aireen juga menyifatkan tempoh dua bulan yang diberikan oleh Malaysia Airport Berhad (MAHB) untuk pihaknya berpindah sebagai “tidak realistik serta terlebih optimis” dan pihaknya memerlukan masa lebih daripada itu.

Selain itu, Aireen juga membangkitkan beberapa isu lain dalam kontrak antara AirAsia dan MAHB yang perlu diselesaikan sebelum perpindahan itu dibuat.

Kementerian Pengangkutan pada Selasa mengumumkan penutupan LCCT pada 9 Mei dan mengeluarkan arahan agar semua agensi kerajaan, syarikat penerbangan serta entiti perniagaan yang berkaitan di LCCT berpindah serentak bagi menjamin kelancaran pembukaan KLIA2.
Ia termasuk semua pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia.
Menurut Abdul Aziz operasi KLIA2 akan bermula seperti dijadualkan pada 2 Mei depan membabitkan empat syarikat penerbangan.
Beliau berkata, penerbangan pertama yang akan dikendalikan di KLIA2 adalah Cebu Pacific, Malindo Air, Tiger Airways dan TigerAir Mandala.
“Kita berharap AirAsia juga akan pindah ke KLIA2 dalam minggu itu kerana kami akan menutup LCCT dalam tempoh seminggu selepas itu,” kata Abdul Aziz.
KLIA2 dijangka mampu menampung 45 juta penumpang setahun.– bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 April 2014 3:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: