Kategori Berita Utama

Fahami ajaran Islam sejati elak pengaruh luar

24 JUN: Datuk Seri Najib Razak menggariskan lima risiko dan cabaran baharu yang perlu dihadapi negara, iaitu dalam isu geopolitik, keselamatan dan keamanan, ekonomi, mendahulukan kepentingan rakyat serta masa depan dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam perutusan Aidilfitri bertemakan ‘Lembayung Silaturahim 1Malaysia Asas Kejayaan Rakyat dan Negara’, malam Ahad, Perdana Menteri berkata, dalam isu geopolitik, Malaysia sedang berdepan risiko geopolitik baharu dunia yang serius.

Antaranya membabitkan krisis di antara negara Islam di Teluk, program nuklear Korea Utara dan implikasi Brexit.

“Sudah tentu, semua perkembangan ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya, kerana jika krisis ini tidak diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan kemakmuran negara serantau dan antarabangsa,” katanya.

Dalam soal keselamatan dan keamanan pula, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat negara ini mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan fahaman atau ideologi ekstremisme dan keganasan seperti IS serta militan Daesh, yang telah menyalahtafsirkan konsep jihad dalam Islam.

Katanya, Islam agama yang damai serta sejahtera dan bagi menjunjung kesuciannya, umat Islam perlu berpegang teguh dengan ‘The Authentic Islam’ iaitu ajaran Islam sejati dalam pengertian yang sebenar-benarnya.

Dalam era siber dan media sosial hari ini, Najib juga mengingatkan umat Islam untuk bijak menyaring maklumat dan ancaman fitnah serta tohmahan palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Namun, saya berasa bersyukur kerana negara ini masih terus mengecapi nikmat keamanan. Malah, berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 negara paling aman di dunia,” katanya.

Dalam bidang ekonomi pula, Perdana Menteri berkata, meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, ekonomi Malaysia telah berkembang pada kadar yang di luar jangka iaitu pada 5.6 peratus untuk suku pertama tahun ini, berbanding 4.5 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Malah, katanya, Mac lalu, buat pertama kali dalam sejarah nilai eksport negara mencecah RM80 bilion iaitu pencapaian tertinggi eksport secara bulanan.

Malaysia juga, katanya, telah diiktiraf oleh firma antarabangsa iaitu BAV Consulting and Wharton School dari Amerika Syarikat, sebagai negara yang terbaik untuk pelabur bagi tahun ini, sementara majalah Forbes meletakkan Malaysia di kedudukan paling atas dalam kalangan negara Asia untuk pelaburan asing.

“Namun, kita tidak akan cepat berpuas hati dan selesa dengan kejayaan itu, sebaliknya kerajaan akan terus membawa Malaysia menjalankan aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah supaya negara kekal berdaya saing,” katanya.

Menyentuh aspek mendahulukan kepentingan rakyat, Najib berkata, kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), projek perumahan rakyat, rumah mampu milik, Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia untuk meringankan beban kos sara hidup golongan B40 dan M40.

Bagi memberikan keselesaan kepada masyarakat, projek Infra Rakyat seperti My Rapid Transit (MRT), Lebuhraya Pan Borneo, Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur sedang rancak dilaksanakan.

Mengenai masa depan dan TN50, Perdana Menteri berkata, menjengah ke masa hadapan, dunia kontemporari kini berada di ambang Revolusi Industri Keempat.

Demi mewajahkan masa depan negara menuju TN50, Najib mahu melihat lahirnya generasi Khayra Ummah yang cemerlang, berwibawa, kukuh jati diri individu, bangsa dan negara, selaras dengan gerakan Ekspresi Negaraku Malaysia.

Dalam perutusannya, Najib turut menyeru umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan memperkukuhkan ukhuwah serta persaudaraan dengan mengetepikan segala perbezaan, selain menikmati keharmonian sedia ada di bawah lembayung silaturahim 1Malaysia.- Bernama

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 June 2017 10:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: