Kategori Berita Utama

Fasa lanjut ASEAN akan wujudkan kuasa ekonomi dunia

12 FEB : Asean yang bersepadu dari segi ekonomi dengan pergerakan barangan, perkhidmatan, tenaga kerja mahir dan modal yang lebih bebas akan membawa kepada dunia  menyaksikan kemunculan kuasa ekonomi baharu di Asia Tenggara.

Malaysia Prime Minister Najib Razak speaks at the Harvard Club during the United Nations General Assembly in New YorkPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, integrasi selanjutnya dalam Asean akan memberi manfaat kepada semua negara anggotanya dengan keutamaan untuk memastikan bahawa integrasi membawa kepada pengagihan dan pewujudan kekayaan yang saksama serta meningkatkan integrasi kewangan dan penyertaan.

“Ekonomi kita telah menjadi hab perdagangan dan komersial sejak berabad-abad, kita hari ini mewujudkan kesatuan ekonomi yang tidak seperti zaman dahulu.

“Kita perlu memastikan semua sektor ekonomi kita terlibat sepenuhnya dalam Komuniti Asean,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Asean CAP10 CEO, Khamis.

Menurutnya, lebih 620 juta orang penghuni atau 10 peratus daripada komuniti dunia adalah kekuatan yang mampu memacu kuasa ASEAN untuk membentuk pasaran ekonomi ketiga terbesar dunia dan berupaya mengatasi negara kuasa besar serta negara kesatuan lain termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

Asean katanya, dijangka mempunyai 125 juta isi rumah dengan pendapatan melebihi RM26,826 (AS$7,500 ) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Bendera AseanJika ASEAN sebuah negara, dengan gabungan keluaran dalam negara kasar  mencecah RM14.3 trilion (AS$4 trilion) menjelang 2020, maka ia akan menjadi antara tujuh ekonomi terbesar dunia.

Menurutnya, penubuhan Asean sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran juga akan membuka potensi ke tahap yang sama dengan ekonomi terbesar dunia.

“Menyeragamkan perdagangan dan kastam, proses dan prosedur akan mengurangkan kos urus niaga, menjadikan Asean lebih menarik sebagai lokasi pelaburan dan meningkatkan daya saing eksport.

“Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan di samping memastikan pelaburan dan kemampanan yang bertanggungjawab akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur, kestabilan dan pertumbuhan,” kata Najib.

Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini katanya, akan bekerjasama rapat dengan negara anggota lain untuk memastikan Asean dapat melaksanakan inisiatif utamanya dan akan mengesyorkan pada Sidang Kemuncak Asean ke-26 April ini agar sekretariat Asean memastikan negara-negara anggota bekerjasama untuk menjalankan dan melaksanakan agenda pasca 2015.

“Malaysia akan memainkan peranan penting dalam membina Asia Tenggara yang lebih kuat, lebih makmur, lebih terbuka,” kata Perdana Menteri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 February 2015 12:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: