Kategori Berita Utama

FELDA dapat semula tanah, siasatan polis, audit jalan terus

15 JAN: Walaupun FELDA telah memperoleh semula 16 lot tanahnya yang dipindah milik, laporan polis berhubung perkara itu terhadap Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) tidak akan ditarik balik kata Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Selain itu Surat Kuasa Wakil Penuh atau P.A dan konsep pembangunan semula projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak akan dikaji semula.

Perkara tersebut disahkan oleh Shahrir dalam sidang media di Menara FELDA petang Isnin.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abd Samad menunjukkan dokumen dan geran tanah FELDA di Jalan Semarak kepada media selepas sidang media berkaitan Tanah FELDA di Jalan Semarak

FELDA membuat dua laporan kepada polis pada 12 dan 28 Dis 2017 berhubung tanah miliknya yang dirampas syarikat terbabit yang kemudian melakukan tukar hakmilik tanpa pengetahuan FELDA.

Menurut Shahrir melalui kajian semula itu, SPSB tidak boleh memindahmilik tanah tersebut tanpa kebenaran bertulis FELDA.

Katanya semua tanah terlibat yang telah dipindah milik tanpa pengetahuan FELDA telah dikembalikan berserta dengan dokumen yang diperlukan untuk melaksanakan pindah milik itu tengahari tadi.

“Daripada 16 geran yang terlibat, satu geran berada dengan pesuruhjaya tanah Wilayah Persekutuan. (Manakala geran) Yang lain masih dengan kita,” katanya.

Menurutnya lagi, usaha pindah milik semula itu berlangsung tanpa melibatkan sebarang kos.

“Pihak pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah itu kepada FELDA tanpa kos dan telah menyerahkan kesemua suratan hak milik tanah tersebut untuk didaftarkan semula ke atas nama FELDA,” katanya.

Shahrir menjelaskan bahawa Projek KLVC yang sedang berjalan di tanah itu akan diteruskan dan FELDA serta SPSB akan berunding semula bagi penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan tersebut demi kebaikan semua pihak.

“FELDA turut akan memastikan bahawa segala proses dan prosedur pengembalian tanah ini serta proses-proses lain dalam Projek KLVC akan menurut tatacara tadbir urus korporat yang baik dan berintigriti,” katanya.

Tanah milik FELDA yang bernilai RM270 juta itu mula menjadi kontroversi apabila Shahrir mendedahkan penukaran milik tanah berkenaan tanpa mendatangkan sebarang pembayaran kepada FELDA.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 January 2018 5:39 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: