Kategori Ekonomi

FELDA-Indonesia akan bekerjasama stabilkan harga sawit

22 APRIL: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan bekerjasama dengan Indonesia untuk menstabilkan serta menaikkan harga minyak sawit mentah dunia di paras munasabah.

Pengerusinya,Tan Sri Shahrir Samad berkata kerjasama dengan Indonesia akan dilakukan melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk menumpukan pasaran di China, India dan Afrika selain meningkatkan kadar penggunaan biodiesel tempatan secara mandat.

“Objektif utama adalah mengekalkan harga minyak sawit pada paras tinggi atau munasabah,” kata beliau dalam satu wawancara kepada Reuters, Jumaat.

Malaysia dan Indonesia adalah negara pengeluar utama dunia yang menyumbang kepada 85 peratus pengeluaran sawit mentah di pasaran global.

Kedua-dua negara itu menubuhkan CPOPC pada 2015 serta sudah mewujudkan pasaran permintaan terhadap penggunaan biodiesel secara meluas.

Tegas Shahrir, langkah itu penting supaya lebih 100,000 peneroka diseluruh negara mendapat manfaat.

“Ini adalah kerana kehidupan mereka akan terjejas jika pendapatan bulanan mereka menjadi lebih kecil.

“Pada masa yang sama FELDA akan menjual aset ‘bukan teras’ merangkumi hotel di London serta tanah di Semenanjung Malaysia untuk mengumpul dana subsidi rumah peneroka yang dianggarkan berjumlah RM400 juta,” katanya Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Sementara itu, ditanya mengenai tahap keyakinan peneroka terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN), Shahrir berkata beliau sudah melawat enam wilayah FELDA sejak dilantik sebagai pengerusi pada Januari lalu.

“Berdasarkan kepada lawatan itu, saya yakin peneroka masih menyokong kerajaan,” katanya lagi

Pada masa ini, peneroka di 321 tanah rancangan itu membentuk blok penyokong penting bagi kerajaan BN dan adalah pengundi majoriti di 54 daripada 222 kawasan parlimen di seluruh negara.

 

 

 

 

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 22 April 2017 12:46 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]