Kategori Berita Utama

FELDA secara rasmi dapat balik semua 16 lot tanah Jalan Semarak

9 MAC: FELDA hari ini mengesahkan kesemua 16 lot tanah Jalan Semarak telah berjaya dipindah milik dan didaftarkan di atas nama FELDA.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad ia adalah rentetan daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani FELDA sendiri dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) pada 15 Januari lalu.

“Dengan pendaftaran semula ini 16 lot tanah telah kembali kepada FELDA, jawatankuasa khas rundingan yang dilantik 8 Februari lalu akan memulakan rundingan dengan syarikat pemaju untuk tujuan penambahbaikan.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad menunjukkan antara salah satu 16 geran tanah pada sidang media perkembangan terkini tanah Jalan Semarak di Menara FELDA

“FELDA hanya tahu tentang perkara ini pada akhir Januari seperti yang dimaklumkan. 4 perjanjian jual beli melibatkan 17 lot tanah, tapi yang didaftarkan keatas nama syarikat SPSB melibatkan 16 lot sahaja,” katanya pada sidang media di Menara FELDA, Jumaat.

Menurut Shahrir lagi, daripada 16 lot tersebut, sebanyak 14 lot didaftarkan pada 2 Mac sementara 2 lot lagi pada 8 Mac 2018.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, terdapat tiga perkara yang digariskan dalam perjanjian antara Jawatankuasa Khas Rundingan dengan SPSB.

“SPSB akan kembalikan tanah atas nama mereka kepada FELDA tanpa sebarang kos kepada FELDA.

“Dalam perjanjian persefahaman itu akan dilakukan rundingam semula antara FELDA dan SPSB untuk menambahbaik terma dan syarat perjanjian.

“Siasatan polis pada Disember akan diteruskan, ” ujarnya lagi.

Pada 21 Disember lalu dilaporkan bahawa Felda berisiko kehilangan hak milik tanah bernilai kira-kira RM200 juta di Jalan Semarak berikutan perjanjian yang didakwa diragui pada 2015.

Pada Januari lalu, polis merekodkan keterangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang merupakan pengerusi Felda dari Januari 2011 hingga Januari 2017, berhubung perkara itu.

Pemindahan tanah itu dipercayai berlaku selepas Felda Investment Corporation (FIC) melantik syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014, dan ia diberikan kuasa penuh untuk membangunkan tanah itu.

Projek tersebut dibangunkan oleh SPSB.

Shahrir berkata, pemaju projek itu secara sukarela bersetuju untuk memulangkan pemilikan semua 16 lot tanah ke Felda tanpa sebarang kos.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 March 2018 12:10 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: