Kategori Berita Utama

Festival seni tiada sambutan, Budiman dakwa Selangor bazir duit rakyat

20 DIS: Kerajaan Selangor didakwa membazirkan dana RM1 juta apabila penganjuran Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau di Muzium Shah Alam pada awal Disember dikatakan gagal menarik perhatian masyarakat.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata beliau dimaklumkan bahawa daripada 30 program diatur sepanjang festival, hanya beberapa program sahaja yang mendapat sambutan.

“Saya melihat ia dibuat secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Selain itu, perkara yang menimbulkan keraguan Budiman adalah festival yang diadakan pada 7 hingga 10 Disember  itu dipercayai dianjurkan oleh sebuah syarikat persendirian.

“Kerajaan negeri menyatakan kontrak penganjuran dianugerahkan secara langsung kepada sebuah NGO kebudayaan yang dikenali sebagai PUSAKA yang mana kurator utamanya dikenali sebagai Eddin Khoo.

“Terdapat juga dakwaan bahawa NGO PUSAKA tersebut bukanlah sebuah persatuan sebaliknya adalah sebuah syarikat sendirian berhad iaitu Seni Pusaka Sdn Bhd,” kata Budiman.

Namun pada 14 Disember lalu, Khoo memberitahu The Malay Mail bahawa PUSAKA menerima bayaran RM1 juta sebagai kurator.

Salah satu program anjuran Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau yang berlangsung di Muzium Shah Alam minggu lalu.

Khoo turut dilaporkan berkata peruntukan sebanyak itu diguna sepenuhnya untuk menampung kos ke atas pengiat seni yang diundang untuk membuat persembahan.

Sementara itu, Budiman mengesa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan dakwaan berlaku pembaziran duit rakyat.

“Jika dakwaan ini benar, adakah pemilihan entiti ini benar-benar memenuhi kriteria yang memenuhi objektif festival ini?

“Pada masa yang sama, adakah pemberian kontrak secara langsung ini adalah amalan baru bagi kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Azmin yang selama ini melaungkan urus tadbir yang sangat telus dan baik?,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 December 2017 2:45 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: