Kategori Berita UtamaUncategorized

FIC mesyuarat esok bincang tindakan terhadap fitnah Rafizi

24 OKT: Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd akan memutuskan di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah esok bagi mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli susulan tuduhan terbaharu yang dilemparkan kepada anak syarikat FELDA tersebut.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, tuduhan Rafizi yang mendakwa FIC membuka syarikat baharu pada 17 Oktober lalu kerana mahu menutup kelemahan FIC, kononnya selepas pendedahan beliau adalah satu tuduhan serius dan jahat.

Razali dan Shahrir bercakap pada sidang media berkenaan tuduhan Rafizi terhadap FIC di Parlimen.

“Esok FIC akan bincang (saman). Lembaga Pengarah FIC akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sebab ini  dakwaan yang serius.

“Saya nak beritahu juga dari segi akaun FIC bagi tahun 2017 memang jelas ditunjukkan FIC London Hotel (Private) Limited (FLH) yang didaftarkan  milik FIC dan syarikat yang dimaksudkan didaftarkan British Virgin Island (BVI) juga milik FIC yang di audit pada tahun 2015,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan Parlimen, pada Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Menurut Shahrir, beliau difahamkan mesyuarat itu akan membincangkan tuduhan Rafizi kerana dakwaan Naib Presiden PKR itu membabitkan ahli lembaga pengarah yang baru dilantik pada tahun ini.

“Dakwaan Rafizi (tubuh syarikat baru) dalam 2017 melibatkan saya sebagai Pengerusi FELDA dan ahli lembaga pengarah yang baru.

“Tentu ada sebab kenapa saya suruh lembaga pengarah yang lama letak jawatan sebab khuatir ada yang kurang memuaskan. Saya minta pengerusi FIC yang baru supaya mereka dapat jalan tugas dengan urus tadbir yang baik serta berintegriti,” tegas Shahrir.

Justeru katanya, apabila Rafizi tuduh syarikat itu baru dibuka pada 17 Oktober berpandu kepada laporan akhbar, ianya satu tuduhan serius kepada pimpinan baharu FIC dan beliau sendiri.

“Saya percaya perkara ini dibincang secara serius. Memang sudah disahkan hotel disebut Rafizi adalah milik FIC. Akaunnya pada 2016 juga di audit oleh  Pricewaterhouse,”.

“Ini memang ikut urus tadbir yang betul. Apakah Rafizi yang dakwa dirinya pakar forensik akauntan lebih hebat daripada firma audit Pricewaterhouse,” soal Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Sementara itu Razali menegaskan, tuduhan Rafizi  bahawa syarikat  FIC London Hotel (private) Limited (FLH) ditubuhkan pada 13 Oktober 2017 adalah tidak benar.

Beliau turut menyangkal dakwaan ahli parlimen pembangkang itu bahawa beliau telah pergi ke London untuk membuka satu syarikat baharu bagi membuktikan Hotel Grand Plaza Kengsiston London masih milik FIC pada tarikh tersebut.

Jelas Razali, Rafizi telah mengambil tarikh pada salinan sijil pendaftaran syarikat tersebut yang telah disahkan peguam di London ketika beliau menunjukkannya pada satu sidang media khas, Ahad lalu.

“Saya nak cakap sijil pendaftaran yang dia kata susah nak dapat itu, FELDA boleh dapat, tetapi salinan sijil yang sah yang dibuat oleh peguam di London. Tarikh salinan sijil itu dicop Certified True Copy (CTC) adalah 17 Oktober dan bukan 13 Oktober,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 October 2017 6:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: