Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

FRIM jalin kerjasama 10 syarikat komersialkan kayu getah

15 MAC: Institut Penyelidian Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengadakan jalinan kerjasama perniagaan dengan lebih daripada 10 syarikat dan agensi bernilai lebih daripada RM800,000.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam jalinan kerjasama tersebut pihaknya memberi fokus kepada beberapa bidang tertentu, antaranya perkhidmatan kepakaran dan perhutanan.

Selain itu katanya lagi, penyelidikan teknologi kayu getah merupakan salah satu contoh hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) FRIM yang berjaya mengarusperdanakan kayu getah sebagai sumber bahan mentah utama industri perabot.

“Penyelidikan FRIM keatas kayu getah berjaya menjadikannya sebagai sumber bahan mentah alternatif kepada industri perabot negara, sekaligus meningkatkan jumlah eksport perabot daripada RM58 juta pada 1988 kepada RM6.4 billion pada 2014.

“Melalui penyelidikan ini juga kayu getah menjadi sumber bahan mentah yang paling dikehendaki oleh industri perabot Negara dengan pasaran eksport berjumlah RM6 ke RM7 bilion setiap tahun,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan ahli parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, Khamis.

Terdahulu Noraini meminta kementerian menjelaskan apakah inisiatif yang boleh dilaksanakan FRIM dalam memaju dan membangunkan hasil penyelidikan sektor perhutanan bagi memastikan R&D FRIM dapat memberi impak terhadap ekonomi negara.

FRIM yang ditubuhkan pada Ogos 2017 bertujuan melaksanakan komersialisasi teknologi untuk kelangsungan perkhidmatan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Dalam masa yang sama, Junaidi turut berkata aktiviti penyampaian berbentuk pemindahan teknologi dan latihan juga diberi perhatian kerana ia melibatkan kos yang agak rendah serta memberi pulangan awal yang cepat.

Mengulas lanjut, katanya pihaknya sedang merancang untuk memberi imbuhan yang sewajarnya kepada saintis yang memperoleh penemuan dan dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.

“FRIM ada lebih 200 saintis, kita cuba merancang dengan bidang pekerjaan saintis diberi imbuhan dan pulangan yang baik, salah satu cadangan yang cuba kita bawa, dan saya yakin kerajaan boleh meluluskan perkara tersebut,” ujarnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 March 2018 12:01 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: