Kategori Analisa Isu Semasa

Fungsi AKSEM diperluas kawal sempadan termasuk Sabah, Sarawak

9 OGOS: Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM)  2017 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini membolehkan fungsi agensi diperluaskan bagi melaksanakan kawalan di sempadan darat negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ianya membolehkan AKSEM melaksanakan operasi bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang sehingga ke garis sempadan negara membabitkan beberapa agensi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membentang rang undang-undang itu berkata, AKSEM diwujudkan bagi mengawal kegiatan penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

Ianya merangkumi kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pemerdagangan manusia, penyeludupan termasuk barangan bersubsidi serta kewujudan laluan tikus di sempadan negara.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, AKSEM diwujudkan dengan menaik taraf Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang dibentuk membabitkan 3 agensi induk iaitu polis, Jabatan Kastam dan Imigresen.

AKSEM juga diperkukuh dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala pengoperasi di Sabah dan Sarawak, agensi itu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Melalui rang undang-undang itu juga katanya, agensi yang membentuk AKSEM ditambah termasuk penyertaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

“Pengoperasian AKSEM tanpa melibatkan pertambahan jawatan baharu sebaliknya mengguna pakai jawatan daripada agensi sedia ada yang diperkukuh,” ujarnya.

Beliau berkata, salah satu inisiatif terbaru pengoperasian AKSEM adalah menetapkan had tertentu bagi anggota yang bertugas di lapangan agar tidak terlalu lama sehingga terdedah risiko ancaman rasuah.

Menurut Zahid, sejak AKSEM ditubuhkan pada 2016, nilai rampasan diperolehi sebanyak RM38.6 juta berbanding RM18.2 juta pada 2014 sebelum AKSEM diwujudkan secara pentadbiran.

“Malah, bagi tempoh separuh pertama tahun ini sehingga Julai, AKSEM berjaya mencatat nilai rampasan RM18.6 juta melebihi nilai rampasan UPP pada 2014,” kata beliau.

Peruntukan rang undang-undang AKSEM 2017 terbahagi 7 bahagian yang mengandungi 30 Fasal termasuk penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi,pelantikan Komisoner Jeneral serta peruntukan am.

Share This:




Berita Bertarikh pada 9 August 2017 4:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]