Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Gara-gara tegur mat rempit pemandu ambulans, jururawat dibelasah

18 DIS: Hanya kerana menegur sekumpulan mat rempit yang sedang berlumba, seorang pemandu ambulans terpaksa menerima empat jahitan di muka dek kerana tindakannya menegur itu telah mendatangkan kemarahan kumpulan remaja berkenaan.

Dalam kejadian 1.40 pagi Ahad, berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, Lebuhraya Utara Selatan, lelaki berusia 53 tahun itu cedera di kening kanan, manakala seorang jururawat wanita dalam ambulans itu diterajang.

Mangsa yang enggan dikenali, berkata ketika kejadian dia bersama seorang pembantu perubatan dan seorang jururawat dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran plaza tol itu, dia melihat sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai sedang berlumba.

“Oleh kerana tindakan mereka boleh membahayakan perjalanan ambulans, saya menggunakan pembesar suara menegur mereka agar memberi laluan kepada kami.

“Tetapi, tindakan saya membangkitkan kemarahan mereka yang kemudian menghimpit ambulans sebelum seorang daripada ‘mat rempit’ itu terjatuh, mereka makin marah dan terus menghalang laluan kami menggunakan motosikal masing-masing,” katanya seperti dilaporkan BH.

Tambahnya, sebaik ambulans berhenti, kira-kira empat hingga enam remaja lelaki itu kemudian membuka pintu dan menariknya keluar dari kenderaan itu sebelum menumbuk mukanya hingga cedera dan membelasahnya bertubi-tubi.

“Jururawat yang menjaga pesakit di belakang cuba membantu dan meleraikan kumpulan terbabit namun dia pula diterajang.

“Apabila orang ramai menyedari kejadian itu, kumpulan remaja berkenaan melarikan diri dan kami pula meneruskan perjalanan menghantar pesakit,” katanya.

Selepas selesai menghantar pesakit dia membuat laporan polis di Taiping sebelum pulang ke Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan.

“Saya dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal seorang daripada remaja yang memukul saya, manakala motosikal lain tiada nombor pendaftaran.

“Difahamkan polis sudah mengenal pasti pemilik motosikal terbabit dan tindakan serta siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Katanya, lokasi kejadian sering dijadikan litar lumba haram membabitkan motosikal dan kereta terutama pada malam minggu.

“Saya sering melalui jalan terbabit dan kebiasaannya malam minggu bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pasti ada kumpulan mat rempit dan kereta yang berlumba di situ,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 December 2017 8:47 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: