Kategori Berita Utama

Garis panduan khas bantu prosiding Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak

13 DIS: Satu garis panduan khas untuk mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak telah diwujudkan bagi melicinkan prosiding Mahkamah Jenayah Sekskual Terhadap Kanak-Kanak atau dikenali sebagai Mahkamah Khas.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata garis panduan khas ini diharapkan dapat membantu pihak-pihak yang terlibat mendapatkan maklumat berkaitan pengendalian kes jenayah seksual kanak-kanak serta meletakkan keutamaan dan perlindungan
terbaik terhadap kanak-kanak.

“Kanak-kanak selaku mangsa penderaan seksual sering mengalami trauma sebagai salah satu kesan psikologi.

“Umumnya menurut kajian, kesan trauma yang sering dilaporkan ialah mangsa sering merasa malu
dan menyalahkan diri serta menjauhi segala bentuk interaksi sehingga ada yang takut untuk melaporkan kejadian yang dialami kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan merasmikan pelancaran garis panduan khas tersebut, di Putrajaya, Rabu.

Turut hadir ialah Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad bin Haji Maarop, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum, dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Latifah Mohd Tahar.

Justeru itu menurut Azalina, dengan adanya garis panduan khas ini, ianya sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan dan bantuan kepada mangsa kanak-kanak dalam memahami prosedur dan pengendalian kes yang melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Melalui Garis Panduan Khas ini juga mangsa kanak-kanak dapat mengetahui tatacara pengendalian saksi di Mahkamah Khas yang telah ditubuhkan di mana pengendalian saksi melibatkan kanak-kanak di Mahkamah Khas ini adalah berbeza daripada Mahkamah biasa.

“Perlindungan secara total diberikan kepada mereka terutamanya daripada orang kena tuduh atau si pelaku jenayah tersebut,” jelas Azalina.

Tambah Azalina lagi, prasarana khusus yang terdapat pada Mahkamah Khas ini seperti sistem
court recording transcription (CRT), sistem audio visual dan bilik saksi kanak-kanak serta bilik menunggu saksi kanak-kanak amat penting
dalam membantu prosiding perbicaraan di mahkamah khas tersebut.

“Kemudahan yang disediakan ini telah menjadikan perbicaraan dan pendengaran kes dijalankan dengan cepat dan berkesan.

“Sesungguhnya pewujudan Mahkamah Khas ini sangat memberikan kesan positif bagi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” jelasnya.

Sementara itu kerajaan bersedia memperluaskan Mahkamah Khas ini ke seluruh negara.

“Seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak diperluaskan secara berperingkat ke negeri-negeri yang lain.

“Perkara ini juga telah diumum oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2018,” kata Azalina.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 December 2017 3:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: