Kategori Berita Utama

Gelora Pagoh sudah reda – MB Johor

12 OGOS: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi peringatan kepada UMNO bahagian Pagoh supaya melupai terus nostalgia kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bersama pembangkang.

Menurutnya, UMNO sangat beruntung kerana ‘gelora’ di Pagoh tidak melarat kepada keretakan besar di negeri kelahiran parti keramat itu.

“Krisis yang melanda UMNO Pagoh tidak merebak.

“Ia hanya sementara dan sudah reda. Kita tidak melihat berulangnya kelumpuhan seperti UMNO di Permatang Pauh 20 tahun dahulu,” katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pagoh, Johor hari ini.

Terdahulu, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pagoh dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pemangku Ketua UMNO bahagian Pagoh, ‎Ismail Mohamed.

Sebelum ini terdapat anggapan pihak tertentu bahawa kerusi Pagoh yang kini disandang oleh Muhyiddin bakal menjadi seperti Permatang Pauh.

Parlimen Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi tradisi PKR sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Ketika ini, kerusi itu disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga adalah Ketua Pembangkang.

Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mengulas mengenai kemelut dihadapi UMNO Pagoh selepas Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO dan ketua bahagian dipecat daripada parti pada tahun lalu.

Tegas Khaled, UMNO Pagoh mesti beralih kepada fasa baru bagi menjelmakan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita mesti menang kerana ramai sekali yang beranggapan bahawa Pagoh berhadapan cabaran besar untuk UMNO dalam pilihan raya akan datang.

“Bagi saya cabaran dalam politik itu adalah lumrah dan akan sentiasa hadir. ‎Masakan ada perjuangan tanpa cabaran.

Masakan ada samudera tanpa gelora. Masakan Malaysia yang moden ini tidak mempunyai pancaroba. Tanpa semua itu, maka tidak adalah perjuangan,” kata ADUN Permas itu.

Share This:




Berita Bertarikh pada 12 August 2017 4:48 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]