Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Gempa bumi Ranau: 130 pendaki selamat dibawa turun

9 MAC: Seramai 130 pendaki di Gunung Kinabalu yang dibawa turun susulan gempa bumi bermagnitud 5.2 berpusat di Ranau, selamat tiba di Pondok Timpohon, pada jam 4.30 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim, berkata ketika kejadian seramai 239 individu berada di Gunung Kinabalu.

Katanya, ia turut membabitkan 42 malim gunung, porter (4), kakitangan Sutera Houber (30), pekerja binaan (4), enam kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS), SAR TTS (5), Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Gunung MOSAR (6), pasukan mencari dan menyelamat (SAR), dan petugas Mountain Torq (12).

“Semua mereka selamat tiba secara berperingkat dari jam 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khairul Azuwan berkata operasi SAR membabitkan 76 orang pelbagai agensi antaranya bomba termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (STORM), MOSAR, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan dan kakitangan TTS.

“Ketika operasi SAR, semuanya dalam keadaan terkawal dan tiada kejadian tidak diingini. Walaupun ada laluan runtuh, namun keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, operasi menyelamat akibat gempa bumi di Gunung Kinabalu kali ini terkawal berikutan bomba dan agensi lain mempunyai pengalaman ketika gempa bumi tiga tahun lalu.

“Anggota keselamatan mengambil langkah yang cepat bagi memastikan semua mangsa yang berada di gunung Kinabalu selamat,” katanya.

Pengurus Taman Kinabalu, Yasin Miki, berkata terdapat runtuhan besar di kawasan gunung Kinabalu namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar.

“Keadaan gelap menyebabkan kita tidak dapat memastikan kerosakan yang berlaku di Gunung Kinabalu namun kita akan menjalankan pemeriksaan lanjut hari ini,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 March 2018 7:57 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: