Kategori Berita Utama

GERAKAN, MCA hanya bekerjasama tidak akan sesekali bergabung

5 JAN: MCA dan GERAKAN yang akan menganjurkan per­himpunan khas esok (Sabtu) bagi memperkukuhkan kerjasama antara dua parti komponen dan tidak akan sesekali bergabung sebagai satu parti.

Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong memaklumkan, pihaknya dihujani pelbagai persoalan serta kegusaran terutamanya dalam kalangan ahli parti seandainya dua komponen ini akan bergabung sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Menurutnya, idealogi kedua-dua parti ini sangat berbeza, GERAKAN merupakan sebuah parti berbilang kaum manakala MCA adalah parti yang memperjuangkan nasib masyarakat Cina.

“Ramai yang melahirkan rasa bimbang juga kerana misi serta visi kedua-dua parti ini lain. Ingin saya tegaskan di sini, kita tidak akan sesekali bergabung kerana perjuangan dan perlembagaan kita berbeza.

“Sebenarnya perhimpunan esok adalah untuk menguatkan silaturahim antara GERAKAN dan MCA. Sejak kebelakangan tahun, sudah wujud satu persepsi kononnya kedua-dua parti kita bergaduh dan berkonflik sesama sendiri.

“Perhimpunan esok akan mengubah semua persepsi negatif ini malah kerjasama antara GERAKAN dan MCA akan membantu komponen Barisan Nasional (BN) untuk menang besar pada PRU nanti,” katanya kepada media pada sidang media di Menara PGRM hari ini.

Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengulas tentang ‘Perhimpunan MCA-GERAKAN Teguh Bersama’ yang julung kali diadakan itu dijangka dihadiri kira-kira 2,000 ahli daripada kedua-dua parti berkenaan.

Tambah Siew Keong, perhimpunan ini merupakan pertama kali dalam sejarah kedua-dua parti yang mahu mempamerkan komitmen serta tekad dalam persiapan bersama bagi pilihan raya umum akan datang dan menampilkan pencapaian masing-masing.

“Kita bersama-sama akan berkongsi pentas bagi memperkukuhkan kerjasama antara satu sama lain terutamanya untuk kemenangan besar pada PRU nanti. Agenda utama kita adalah menumbangkan pembangkang.

“Kedua-dua parti mendukung misi memerangi ekstremisme dan melindungi hak bukan Islam malah kerjasama kami menjana hasil yang efektif serta progresif,” katanya lagi.

Pemimpin MCA dan GERAKAN dari peringkat pusat sehingga bahagian juga dijemput untuk menghadiri perhimpunan berkenaan yang diadakan di Dewan San Choon, Wisma MCA pagi esok.

MCA dan GERAKAN mempunyai pengalaman kerjasama meliputi tempoh sangat lama di bawah struktur BN terutama dalam menegakkan tadbir urus kesederhanaan dan berbilang bangsa.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau bersama-sama dengan Mah Siew Keong telah mengadakan pertemuan selama lima kali bagi menzahirkan perhimpunan tersebut.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 January 2018 7:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: