Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

GST: Khalid Samad dibedal MPs BN

26 OKT: Sidang Dewan Rakyat pada sesi petang hari ini menjadi hangat seketika apabila Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul bangkit mempertahankan kerajaan apabila bertikam lidah dengan wakil rakyat PAN, Khalid Abdul Samad berkenaan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Situasi itu tercetus semasa Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sedang berucap membahaskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017.

Ketika Dr Noor Azmi sedang giat membahas, Khalid menyampuk sambil berkata kerajaan mempunyai kemampuan untuk memberi sumbangan yang lebih banyak kepada pusat penjagaan warga emas swasta kerana masih memiliki baki hasil GST selepas sebahagiannya diperuntukan untuk BR1M kepada rakyat.

Dr Noor Azmi kemudiannya menyindir Khalid dengan mempertikaikan tindakan Pakatan Harapan tidak menyenaraikan GST dalam Bajet Altenatif PH 2018 yang dilancarkan semalam,  sebaliknya memilih memansuhkannya.

“Ada orang kata BR1M rasuah, dedak tapi tetap nak terus bagi juga dalam bajet yang  dilancarkan.

“GST ni bagus dan telah banyak menguntungkan dan membantu negara, kenapa ada orang suruh kita patah ke belakang untuk laksanakan SST semula,” sindir wakil rakyat UMNO itu.

Situasi menjadi semakin hangat apabila Othman bangkit dan menyifatkan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu tidak memahami berkenaan pengagihan hasil GST yang bukan semata-mata digunakan untuk BR1M, sebaliknya digunakan dalam peruntukkan kepada pelbagai kementerian.

Dewan Rakyat terus menjadi kecoh apabila kedua-dua ahli parlimen itu terus berperang mulut dan perkataan ‘bodoh’ saling dilemparkan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, keadaan itu berjaya ditenangkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang memberikan nasihat bahawa perkataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh setiap Ahli Parlimen ketika bersidang.

Sementara itu, RUU itu dibahaskan sebagai usaha kerajaan mengawal selia institusi- institusi penjagaaan warga emas swasta bagi menjamin kesejahteraan serta maruah warga emas di negara ini.

Kewujudan akta ini akan menggalakan institusi berkenaan berdaftar dengan kerajaan sekaligus memudahkan dikawal selia pada masa depan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 October 2017 6:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: