Kategori Berita GSTBerita Utama

GST: Shahrir guna pendekatan orang kampung

Setiap ahli Parlimen mempunyai cara dan kaedah tersendiri bagi memberi kefahaman sesuatu isu atau perkara kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad tidak terkecuali dalam hal ini kerana beliau juga mempunyai pendekatan yang unik untuk menerangkan isu mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan 1 April 2015.

“Pasal GST, walaupun begitu banyak telah dikatakan, saya bukan ekonomis dan pakar, tetapi sebab itu kadang-kadang saya selalu menggunakan kaedah ekonomi orang kampung.

“Kawasan Parlimen Johor Bahru kawasan bandar tetapi kaedah-kaedah ekonomi orang kampung ini mudah lagi difahami,” kata Pengerusi BNBBC itu di Dewan Rakyat, Selasa.

shahrir1Mengambil contoh isu Wilayah Iskandar di Johor yang dikatakan telah menyebabkan Melayu tidak mendapat manfaat dan semakin ditekan dinegara sendiri, beliau membandingkannya dengan jumlah kutipan masjid pada hari Jumaat.

“Jumlah kutipan pada hari Jumaat telah berganda daripada dua tahun dahulu. Kalau dulu Masjid Bandar Baru Uda sebuah masjid yang terkemuka di Parlimen Johor Bahru kutipannya dalam RM5000 tetapi hari ini sudah melonjak kepada RM14000 dan begitu juga di masjid-masjid yang lain,” katanya.

Sebagai orang kampung yang gunakan ekonomi orang kampung, kata beliau memang sudah kelihatan kemewahan yang terasa dikalangan orang biasa sehinggakan sudah tidak lagi kedengaran bunyi syiling masuk dalam tabung masjid pada hari Jumaat.

Begitu juga dengan GST. Shahrir menyifatkan pelaksanaan cukai itu nanti merupakan usaha yang boleh membantu orang kampung.

Menurutnya, nilai threshold yang ditetapkan iaitu sebanyak RM500 ribu dan ke atas setahun tidak memungkinkan perniagaan-perniagaan di kawasan kampung dikenakan GST.

“Kalau dikawasan Sungai Limau umpamanya, tiada pun satu perniagaan yang layak didaftarkan di bawah GST. Maka mereka yang membeli belah, makan di warung-warung tidak terasa tentang GST itu,” tegas beliau.

Shahrir berpendapat sistem GST ini adalah sistem subsidi secara terbalik kerana cukai tersebut adalah berasaskan penggunaan.

“Kalau sudsidi, lagi banyak pakai lagi banyak subsidi yang dapat tetapi kalau GST, lagi banyak guna lagi banyak kena bayar…ini cakap orang kampunglah,” katanya.

Justeru itu beliau melihat dari segi pandangan orang kampung, ianya bukanlah satu masalah apabila kerajaan mahu melaksanakannya dan ianya perlu dilaksanakan dengan baik.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya diperluaskan lagi senarai barangan-barangan yang tidak dikenakan GST seperti yang ada kaitan dengan kesihatan dan pakaian.
Beliau juga diawal ucapan sempat mengkritik bajet pembangkang yang tidak selari dengan manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu.

Katanya, sewaktu kempen PRU13 lepas, pembangkang telah mencanang diseluruh negara termasuk di Johor Bahru akan menurunkan harga minyak sekiranya berjaya menakluk Putrajaya.

“Saya meneliti bajet pembangkang dan saya bandingkan dengan janji-janji dalam manifesto PRU13. Saya dengar ucapan Ketua Pembangkang di Johor Bahru menjanjikan harga petrol akan dipotong dengan secara mendadak.

“Ini bermakna pembangkang memberi diskaun untuk membeli minyak dengan memberi tambahan subsidi kepada minyak petrol. Walaupun begitu, ianya tidak kelihatan di dalam bajet pembangkang,” ujarnya.

“Ini cakap pilihan raya kita boleh maafkanlah kadang-kadang perkara ini boleh dijadikan kata-kata dalam keadaan bersemangat,” katanya sinis. -29/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 October 2013 12:08 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: