Kategori Berita Utama

GWGF desak 3 anak Felda menjadi ahli lembaga FGV

23 JUN: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) mendesak Felda Global Venture (FGV) Sdn Bhd untuk melantik sekurang-kurangnya 3 orang wakil anak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebagai pemegang saham terbesar dalam pengurusan FGV.

Pengerusinya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, anak-anak Felda yang bergelar profesional dalam pelbagai kerjaya layak untuk dipilih menjadi lembaga pengarah FGV.

“Kita mahu 3 orang anak Felda menjadi pemegang saham utama dalam FGV.

“Tapi kenalah lantik mereka yang betul-betul layak dan bergelar profesional seperti pernah mengendalikan syarikat, mengurus bank dan sebagainya.

“Kehadiran mereka yang pakar dan profesional ini dapat memberi pertukaran idea, khidmat nasihat dan pandangan untuk meningkatkan prestasi FGV,” jelasnya.

Rozali yang juga anak Felda Gedangsa, Tanjung Malim berkata demikian pada sidang media di Puncak Alam, pada Jumaat.

Menurut Rozali, setakat ini hanya Ketua Eksekutif Operasi FGV Datuk Zakaria Arshad sahaja yang merupakan anak Felda tunggal menjadi ahli lembaga pengarah FGV.

“Semoga Tan Sri Dr Sulaiman dapat membuat rombakan atau penstrukturan semula Ahli Lembaga Pengarah FGV ini dengan melantik 3 orang anak Felda sebagai pemegang saham terbesar FGV,” katanya lagi.

Rozali juga mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob yang dilantik menjadi Pengerusi FGV baru dan berharap ia dapat menambah baik prestasi FGV di masa hadapan.

“Saya berharap perlantikan Pengerusi FGV baharu ini dapat memulihkan imej FGV yang telah tercemar.

“Dengan perlantikan ini, kemelut yang melanda FGV baru-baru ini dapat diselesaikan memandangkan beliau seorang pakar ekonomi dan tokoh korporat yang berpengalaman lebih 38 tahun dalam bidang korporat dan perkhidmatan awam,” jelasnya lagi

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Tan Sri Isa Samad mengambil alih tugas sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) manakala Sulaiman dilantiksebagai Pengerusi FGV baharu mengambil alih jawatan Isa sebelum ini.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 June 2017 10:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: