Kategori Berita Utama

MCA: Hadi makin jadi diktator dalam PAS

26 DIS: MCA melabelkan kenyataan presiden PAS pada 22 Disember lalu sebagai bongkak serta satu percubaan mempergunakan Islam untuk agenda politik peribadi.

Pada masa sama, Ketua Biro Keharmonian Kaum dan Agama MCA,Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa amanat terbaharu Datuk Seri Hadi Awang itu bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Lian Ker merujuk kepada kenyataan Hadi bertajuk “Mengapa kalau Islam tidak boleh”  disiarkan  portal Harakahdaily yang memaklumkan ramai pihak tidak memahami bahawa bernegara dan berpolitik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, atau mereka sengaja mahu memusuhi Islam.

Menurutnya, kebanyakan rakyat negara ini boleh menerima bahawa isu bernegara dan berpolitik tidak boleh dipisahkan dalam Islam.

“Namun adalah tidak benar apabila Hadi menuduh bahawa sesiapa yang tidak bersetuju dengan PAS adalah sengaja mahu memusuhi Islam.

“Ini menunjukkan PAS dan Hadi terlalu angkuh dengan cubaan menyamakan diri dan parti dengan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Lian Ker (foto), Ahli Parlimen Marang itu pernah mengeluarkan amanat yang mengkafirkan UMNO kerana berkerjasama dengan parti kompone bukan Islam.

“Tetapi kemudiannya PAS sendiri pernah bersekongkol dengan DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dalam Pakatan Rakyat. (foto fail)

“Ini jelas menunjukkan bahawa amanat itu adalah mainan politik PAS dan Hadi apabila sewenang-wenangnya membuat interpretasi ajaran agama Islam yang suci dan murni melalui kaca mata politik secara peribadi,” dakwanya lagi.

‘Amanat Hadi’ merupakan kenyataan kontroversi oleh Hadi sejak April 1981 yang mengandungi gesaan menentang UMNO kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir, dan jahiliah.

Sementara itu Lian Ker menasihatkan presiden PAS itu supaya merujuk kepada Majlis Syura Ulama sebelum mengeluarkan pendapat peribadi.

“Hadi Awang nampaknya semakin diktatorial dan dominan sejak akhir-akhir ini dalam parti.

“Kalau dahulunya Presiden PAS akan menghormati pandangan dan peranan Tok Guru Nik Aziz sebagai Ketua Majlis Syura, kininya amalan ini semakin tidak wujud dan menghilang.

“Adalah juga salah dari segi amalan Islam apabila Hadi Awang membuat tafsiran Islam secara peribadi tanpa melibatkan ulamak-ulamak lain dari luar parti PAS atau negara,” katanya.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 December 2017 9:40 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: