Kategori Berita Utama

Hadi ulangi pendirian campur tangan asing bawa malapetaka

5 JULAI: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang terus mengulangi pendirian bahawa campur tangan asing dalam hal ehwal negara hanya akan membawa bencana kepada Malaysia.

Beliau yang sedang bercuti sejak Mei lalu selepas pembedahan jantung dilihat senada  dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengutuk nafsu pihak tertentu membawa orang luar semata-mata ingin menumbangkan parti pemerintah.

Dalam satu kenyataan Hadi menegaskan situasi saman sivil  oleh Jabatan Keadilan Negara (DoJ) Amerika Syarikat ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanyalah satu dakwaan yang belum dipastikan kebenarannya.

“Saya tetap tidak bersetuju dijemput campur tangan asing terhadap penyelesaian dalaman kita kerana mengundang akibat yang lebih buruk dan tiada keikhlasan kuasa asing dalam dunia.

“Langkah oleh pihak tertentu itu laksana menebuk kapal untuk mendapatkan air secara mudah,” kata Ahli Parlimen Marang, hari ini.

Kenyataan Hadi itu sekali lagi bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh pemangku Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang secara tidak langsung menyokong pembabitan DoJ bagi menyelesaikan kemelut 1MDB.

Tuan Ibrahim dilaporkan menyalahkan kegagalan institusi penguatkuasaan  serta kerajaan yang didakwa gagal kita untuk menyiasat dan bersikap telus sehingga menyebabkan pihak lain menyiasat skandal berkenaan.

Pada Jun, DoJ memfailkan tiga saman sivil untuk merampas aset bernilai AS$4.5 bilion (RM19.3 bilion) yang didakwa menggunakan dana 1MDB.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berkata siasatan dakwaan itu berada dibawah tanggung jawab polis.

Bagaimanapun pihak polis menjelaskan bahawa mereka tidak akan mengganggu perjalanan saman sivil itu.

Sementara itu, tanpa menamakan pihak mana, Hadi juga menyindir penyangak yang bertanggungjawab terhadap situasi semasa permasalahan 1MDB sehingga mencetus permusuhan sesama insan.

“Mereka bertuhankan kebendaan dalam segala urusan hidup yang mencipta penyakit yang wajib dihapuskan seperti salah laku, salah urus dan rasuah yang menjadi wabak di seluruh dunia,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Hadi juga mengesa semua pihak di negara ini bersatu untuk menentang campur tangan kuasa asing.

“Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang, mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya,” kata bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 July 2017 3:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: