Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Hanya mereka yang busuk hati persenda program Selawat Perdana

23 MAC: Hanya mereka yang busuk hati yang sanggup memperlekeh program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bila pembangkang memperlekeh program, yang berjaya menghimpunkan 500,000 umat Islam di Putrajaya pada Jumaat lalu, bermakna mereka kecewa dengan sambutan ratusan ribu yang menyertainya.

Gambar Dataran Masjid Putrajaya dan kawasan sekitarnya yang dipenuhi orang ramai yang hadir pada Program Selawat Perdana jumaat lalu.

Gambar Dataran Masjid Putrajaya dan kawasan sekitarnya yang dipenuhi orang ramai yang hadir pada Program Selawat Perdana jumaat lalu.

Pada malam itu kebanyakan yang hadir berpakaian serba putih, membanjiri Dataran Masjid Putra Presint 1 dan sepanjang jalan Kompleks Pusat Pentadbiran Putrajaya sehingga diumpamakan sebagai himpunan di Padang Arafah pada musim Haji dengan penuh ketertiban.

“Sebagai umat Islam, sepatutnya mereka bersyukur kerana program itu berjaya menghimpun sebegitu ramai umat tanpa mengira fahaman politik, bersama-sama menunjukkan rasa cinta kepada Rasul dan taqwa kepada Allah,” kata Jamil Khir yang juga ahli parlimen Jerai.

Jamil Khir yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata pihak pembangkang mahu melihat program yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang menteri Kabinet beragama Islam itu, hanya dihadiri oleh beberapa ratus orang sahaja.

Pihak pembangkang melihat dari sudut yang buruk sahaja sedangkan program itu adalah untuk membina persepsi baik terhadap Islam yang kini dicemari dengan pelbagai imej negatif, katanya.

Seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) juga mempersoal kononnya pemimpin kerajaan tidak mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih dua minggu, sejak 8 Mac lepas.

“Oleh kerana didesak melalui khidmat pesanan ringkas tiga kali sehari daripada pemimpin NGO berkenaan, saya terpaksa menghubunginya dan menyatakan bahawa perdana menteri dan semua menteri-menteri kabinet serta timbalan menteri adalah kumpulan pertama mengadakan solat hajat selepas Zuhur sebaik sahaja menerima berita kehilangan pesawat pada hari Sabtu 8 Mac lalu,” kata beliau.

Jamil Khir berkata beliau tidak gemar menggembar-gemburkan kerja ibadah kepada umum tetapi apabila ditekan bertalu-talu, beliau tidak ada pilihan lain selain terpaksa menghebahkannya.

“Kita bukan fikirkan orang Islam semata-mata tetapi semua penumpang dari pelbagai negara dalam pesawat itu,” kata beliau sambil meminta semua umat Islam terus berdoa dengan mengerjakan solat hajat.– bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 March 2014 6:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: