Kategori Berita Utama

Harga musang king melambung kerana hasil kebun kurang

9 NOV: Faktor utama kenaikan harga durian ‘musang king’ bukan disebabkan kesemuanya dieksport ke China, sebaliknya berlaku pengurangan hasil pada tahun lalu.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pengurangan hasil durian jenis berkenaan mencecah sehingga 20 peratus daripada jumlah yang sepatutnya sekaligus harga pasaran tempatan naik sehingga RM100 sekilo.

“Bagi petani bila mereka tanam durian, jangan lihat isu harga tinggi sebagai masalah, kalau tak ada harga lagi susah sebab kalau berlaku lambakan contohnya yang berlaku kepada harum manis pada bulan puasa tahun lepas, harga jatuh.

“Sebab itu kita mesti lihat pasaran luas positif kepada petani terlibat,” katanya yang menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng di Dewan Rakyat, Khamis.

Terdahulu, Teck Meng meminta kerajaan menjelaskan faktor kenaikan harga durian jenis ‘musang king’.

Mengulas lanjut Shabery (foto) berkata jumlah pengeksportan ke China masih berada di tahap minimum kerana terikat dengan pemeriksaan dan kuarintin yang ketat, dimana hanya isi durian yang disejuk beku sahaja dibenarkan dibawa masuk ke China

“Kalau lihat eksport ke China pada 2012 hanya sekitar RM23 juta, manakala pada 2016 sekitar RM18 juta. Jumlahnya masih kecil daripada jumlah keseluruhan iaitu RM74 juta.

“Kita masih berusaha untuk meluaskan pasaran ke negara China, kita perlu buat beberapa usaha, contohnya festival durian di Naning baru-baru ini dapat mengumpulkan 165,000 orang yang hadir untuk merasa beberapa ulas durian musang king sahaja, ia cukup membanggakan kita,” ujarnya lagi.

Katanya lagi bagi meningkatkan pengeluaran, sekarang adalah masa terbaik untuk membuat penanaman ‘musang king’.

“Sekarang kita jangka dalam dalam dua ke tiga tahun akan datang, kemasukan durian ke China boleh dibuat sepenuhnya dan ia merupakan potensi kekayaan yang tak difikirkan satu ketika dulu,” ulasnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 November 2017 11:46 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: