Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Hasrat PAS tanding 130 parlimen bukan angan-angan

3 FEB: Hasrat PAS bertanding lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU14 nanti bukan angan-angan Mat Jenin.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mempunyai pengalaman mentadbir negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sekaligus membuktikan mereka mempunyai kekuatan.

Katanya, kekuatan PAS dibuktikan dengan sokongan akar umbi yang kuat melalui 165 kawasan seluruh negara dan ahli hampir 1 juta.

“Orang kata kita mat jenin… Mat Jenin ini dia panjat pokok kelapa di pelepah rapuh. Kita bukan pelepah rapuh. Kita ada cawangan dan kawasan yang kuat dan kukuh.

“Kita ada jentera, orang lain tak ada jentera dan akar umbi. Sebab itu kita bertanding. Orang lain tak ada, jadi orang itulah Mat Jenin,” katanya ketika berucap merasmikan Wisma Purnama PAS Kawasan Gopeng di Station 18, hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS terus kekal memerintah Kelantan kerana tadbir urus yang baik dan tiada salah laku.

Katanya, biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk tekanan media kerajaan, Kelantan terus diterajui PAS.

Dalam pada itu, Abdul Hadi sempat menempelak pemimpin PKR yang mengatakan PAS tidak mempunyai kekuatan untuk membentuk kerajaan.

“Mereka orang luar tak tahu apa-apa dalam PAS.

“Kita merasakan makin hari PAS makin baik dan kuat,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 February 2018 9:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: