Kategori Berita Utama

Hentam PAS kerana dendam, taktik jahat politik PAN

19 DIS: Tindakan PAN menyerang bertalu-talu dan memperlekehkan PAS sejak akhir-akhir ini memang sudah dijangka, apatah lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kian tiba.

Menurut Pakar Penganalisis Politik Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Salawati Mat Basir, tindakan PAN itu adalah lumrah dan menjadi fitrah kepada parti serpihan yang menghentam bekas parti induknya.

Katanya, sudah pasti masih ada saki baki atau dendam yang masih belum dapat dilunaskan, lantaran itu menuntut PAN menghentam PAS bagi memberikan gambaran buruk kepada parti kedua terbesar orang melayu ini dalam arena politik tanahair.

“Itu memang pasti dan dijangkakan. Pastinya ada dendam dan kita semua tahu bagaimana mereka yang kecewa ini telah keluar daripada PAS untuk menubuhkan parti baharu iaitu PAN.

“Jadi tidak ada apa yang menghairankan jika PAN menggasak dan memperlekehkan kewibawaan PAS sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada BNBBC.my portal, Selasa.

Bagaimanapun, Salawati menyifatkan PAS sebagai parti yang cukup matang dalam pahit manis arena politik negara dan pastinya mempunyai strategi tertentu yang belum digunakan untuk mematahkan serangan bekas rakan seperjuangan mereka itu.

“PAS nampak berdiam diri, tapi kita jangan sangka air yang tenang tiada buaya. Pendapat saya PAS menyimpan kukunya dan akan digunakan pada masa yang tepat dalam melancarkan serangan politiknya.

“Kita jangan memandang rendah pada PAS, kerana parti itu terkenal dengan ahli yang mempunyai jati diri yang kuat malah mempunyai keupayaan jentera yang sanggup mencurahkan segala keringat tanpa memikirkan mendapat pulangan, itulah kekuatan PAS,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, (UUM MAPAN), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri pula berpendapat tindakan PAN menyerang PAS itu adalah untuk memancing pengundi di kalangan generasi muda sama ada yang masih menjadi ahli PAS atau sebaliknya.

“Pilihanraya tidak lama lagi, jadi PAN berasa kekuatannya belum mencukupi sebagai parti baharu. Jadi tindakan ini adalah untuk menarik dan memikat pengundi muda khususnya di dalam PAS.

“Kita tahu orang muda ini sukakan sifat seperti ‘rival’ dan agresif, jadi mereka cuba meyakinkan ahli-ahli muda PAS untuk bersama mereka yang nampak lantang bersuara bersama Pakatan Harapan berbanding PAS yang memilih pendekatan politik matang dan kelihatan mesra bersama UMNO sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Jelasnya, sebagai parti yang lebih liberal daripada PAS, tindakan memperlekehkan bekas parti induk mereka itu adalah sebagai strategi untuk mempersiapkan momentum PAN menghadapi PRU ke-14 tidak lama lagi.

“Mereka cuba mencetuskan momentum politik mereka, saya lihat parti yang dipimpin Mat Sabu ini seperti kehilangan arah dan identiti mereka pada ketika ini.

“Jadi dengan cara menghentam PAS inilah kononnya mereka akan nampak sedikit kuat, walhal sebenarnya adalah sebaliknya.

“Ahli-ahli PAS sebenarnya susah digugat, PAS nampak sudah berjaya membentuk perpaduan yang utuh dikalangan ahlinya dengan menanam sifat wala’ kepada parti, jadi pendapat saya taktik PAN ini akan menjadi sia-sia,” ujarnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 December 2017 10:17 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: