Kategori Berita Utama

Henti langgan Utusan, BH: Ada tak kena kata Ku Nan

11 JUN: Seperti ada yang tak kena dengan mereka, demikian kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor susulan langkah Kerajaan Selangor melarang jabatan dan agensi negeri tersebut melanggan akhbar Utusan dan Berita Harian.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menyifatkan tindakan berkenaan adalah dangkal dan bertentangan dengan dasar langit terbuka pelbagai maklumat yang dinikmati masyarakat Malaysia dewasa ini.

Bagaimanapun beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Nan menjelaskan bahawa itu tindakan itu adalah hak Kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Itu hak mereka berbuat demikian, saya pun tak tahu apa kebaikannya mereka buat macam tu, biarlah rakyat Selangor menilaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan perasmian Pusat Komuniti Beringin di Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, di Kepong, pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai pusat komuniti tersebut, ia adalah inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memberi keselesaan kepada masyarakat di PPR Beringin.

“Dengan terbinanya bangunan ini, maka tiada lagi kesulitan yang dihadapi masyarakat di sini melaksanakan aktiviti dan program kemasyarakatan di sini.

“Selain itu juga telah dibina surau Jumaat dan pembinaan 12 unit gerai penjaja di kawasan ini yang telah siap pada Julai lalu,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Pusat Komuniti Beringin yang menalan kos RM8 juta memiliki keluasan 21,430 kaki persegi dilengkapi dengan dewan serbaguna berhawa dingin, tiga buah gelanggang badminton dan satu gelanggang bola keranjang.

“Terdapat juga bilik persalinan, pejabat, bilik solat serta lot parkir untuk kemudahan orang ramai,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 November 2017 12:39 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: