Kategori Berita Utama

Hentikan spekulasi, MAS sedang hubungi keluarga penumpang

8 MAC: Malaysia Airlines kini sedang berusaha menghubungi ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang, awal pagi Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, fokus pihaknya juga sekarang ialah bekerjasama dengan petugas kecemasan dan pihak berkuasa yang telah mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat berkenaan.

Route MH370Ahmad Jauhari menasihatkan ahli keluarga penumpang terlibat untuk terus ke Bangunan Sokongan Kemudahan yang terletak di Zon Sokongan Selatan KLIA bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Kami mendoakan semua penumpang dan anak kapal serta ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pesawat jenis Boeing 777-200 yang berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi Sabtu itu sepatutnya mendarat di Lapangan Antarabangsa Beijing pada jam 6.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, pesawat itu terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik pada jam 2.40 pagi.

Ia membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal yang terdiri daripada warganegara dari 13 buah negara.

MAHB TonySementara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini menyuruh orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kejadian pesawat Malaysia Airlines terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal hari ini.

MAHB berkata demikian di dalam laman Twitternya dan menyarankan orang ramai tunggu kenyataan rasmi daripada Malaysia Airlines.

Sejurus selepas berita kejadian itu tersebar, banyak spekulasi disebarkan dengan meluasnya di laman media sosial.

Ada yang menyebarkan berita bahawa pesawat tersebut telah mendarat di Nanning, China.

Walaubagaimanapun, Naib Presiden kawalan Operasi Malaysia Airlines mengesahkan bahawa berita tersebut adalah palsu.

Sementara itu, ramai orang termasuk Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes turut berkata orang ramai harus menunggu pengesahan rasmi dan mendoakan yang terbaik.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 March 2014 2:04 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: