Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis catat sejarah- PAS

22 DIS: Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis yang diadakan di Masjid Putra hari ini merupakan himpunan bersejarah buat umat Islam Malaysia untuk bersama-sama rakyat Palestin dalam mempertahankan kota suci umat Islam itu.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi yang berucap mewakili Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada himpunan itu berkata umat Islam berkumpul tanpa mengira perbezaan politik mahupun pandangan bagi menolak resolusi Amerika Syarikat memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

“Hari ini kita berkumpul tanpa mengira siapa kita, kita berkumpul di atas asas rakyat Malaysia dan umat Islam untuk menyatakan kepada Amerika Syarikat dan Israel bahawa Malaysia bersama-sama dengan saudara kita di Palestin untuk membebaskan Baitulmuqaddis suatu hari nanti.

“Hari ini kita berkumpul di masjid ini, satu hari nanti, Insya-Allah, kita semua akan berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat,” kata Muhammad Khalil.

Himpunan itu yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dihadiri oleh kira-kira 10,000 umat Islam dan rakyat Malaysia bukan Islam.

Pada 6 Dis lepas, Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel hingga membangkitkan kemarahan dan bantahan negara-negara Islam.

Pada Jumaat, perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa Bersatu menerima 128 undi yang menyokong usul untuk menolak keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 December 2017 6:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: