12 OKT: Kerjasama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia menerusi rondaan tiga negara atau Operasi Udara Trilateral (TAP) bertujuan meningkatkan keselamatan dan membanteras ancaman pengganas di perairan Sulu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerjasama yang julang kali diadakan itu akan diketuai oleh Malaysia dan dikordinasi bersama dengan Filipina serta Indonesia.
“Kerjasama tiga negara ini akan menggunakan konsep ‘Eye in the sky’ sama seperti mana yang digunakan untuk mengawasi perairan Selat Melaka sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran TAP, di Pangkalan TUDM Subang, Khamis.
Turut hadir adalah Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Kementerian Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana.
Turut menyaksikan acara pelancaran berkenaan adalah wakil daripada Kementerian Pertahanan Brunei dan Singapura.
Pada masa sama, Hishamuddin berkata TAP adalah melengkapi aspek pengawasan keselamatan di perairan Sulu yang sebelum ini diperkukuhkan menerusi kerjasama Operasi Maritim Trilateral (TMP) yang dilancarkan pada Jun lalu.
“Malaysia akan mengetuai operasi sehingga hujung November, kemudian Filipina akan mengambil alih mengetuai sehingga Disember ini.
“Indonesia akan mengetuainya pada January depan, sebelum Malaysia kembali mengetuainya pada Februari,” katanya.
Jelas Menteri Tugas Khas itu, tiada tempoh masa ditetapkan untuk operasi ini, namun akan mengkaji semula jika perairan Sulu sudah dipastikan selamat.