Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Hujan lebih 17 jam burukkan keadaan P.Pinang

5 NOV: Hujan lebat berterusan lebih 17 jam memburukkan lagi keadaan banjir yang menjejaskan kebanyakan kawasan di Pulau Pinang.

Hujan lebat sejak jam 12 tengah hari berserta angin kencang semalam, turut melumpuhkan sebahagian kawasan di Georgetown dan Seberang Perai, selain menyebabkan hakisan tanah, pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas luar biasa.

Dalam kejadian ribut malam tadi, seorang warga Bangladesh dilaporkan maut manakala rakannya hilang selepas rumah didiami dihempap pokok di Kampung Perlis, Jalan Assumption, Butterworth.

Di Georgetown, antara kawasan terjejas termasuk Kampung Masjid, Jalan P Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson dan Halaman Bukit Gambir.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, hujan lebat menyebabkan paras Sungai Pinang, Sungai Air Itam dan Sungai Dondang mencecah paras bahaya dengan masing-masing mencecah 2.83 meter, 6.58 meter dan 21.88 meter.

Antara kawasan terjejas di Seberang Perai pula ialah Taman Siakap, Permatang Rawa, Taman Senangin, Padang Lalang, Mak Mandin dan beberapa kawasan di Penanti.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata lebih banyak pusat pemindahan dibuka sejak tengah malam tadi untuk menempatkan penduduk yang terjejas.

Beliau berkata, antara pusat pemindahan yang dibuka ketika ini termasuk Dewan Orang Ramai Mengkuang Titi, Pusat Banjir Lubok Meriam, Sekolah Agama Masjid Mengkuang Semarak, Dewan Orang Ramai Kampung Kota, Dewan Pengkalan Tambang, Dewan Banjir Guar Perahu, Sekolah KAFA Kubang Semang, Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti dan Surau Kampung Tok Subuh.

“Pusat pemindahan turut dibuka di SK Sungai Pinang dan SMK Teluk Kumbar 1. Kita anggarkan lebih 500 penduduk dipindahkan di semua pusat yang dibuka.

“Sehingga jam 3 pagi tadi, kerja menyelamat dan memindahkan mangsa giat dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, cuaca buruk sejak semalam menyebabkan 26 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masing-masing untuk ketibaan dan pelepasan ditunda.

“Tiga pesawat terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan satu pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 November 2017 9:50 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: