Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Husam mengaku anaknya ditahan miliki 200 pil kuda

19 NOV: Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa mengakui anaknya adalah individu yang ditahan polis kerana memiliki 200 pil kuda.

ADUN Salor itu bagaimanapun berkata, pihak polis masih belum memaklumkan mengenai penangkapan tersebut kepada beliau.

“Saya hanya mendapat tahu anak saya, Ahmad Syafi direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memiliki pil kuda jam 5.22 petang tadi, apabila seseorang menghantar imej laporan Malaysiakini melalui WhatsApp.

“Sehingga kini, tiada pemakluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu.

“Juga tiada pemakluman polis bahawa beliau akan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman pagi tadi. Saya juga tidak diberitahu sehingga kini di mana anak saya ditahan,” katanya dalam catatan di Facebooknya.

Husam berkata, jirannya memaklumkan anaknya ditahan sekumpulan lelaki petang semalam.

Katanya, beliau akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mendapat maklumat penuh daripada polis dan dibenarkan menemui anaknya.

Terdahulu media melaporkan polis menahan seorang anak lelaki pemimpin tertinggi PAN yang juga seorang wakil rakyat kerana dipercayai memiliki 200 biji pil kuda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor Kampung Jelutong Kota Bharu semalam.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan mengenai tahanan tersebut.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu ini.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Ismail.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 November 2017 10:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: