Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Idris Haron: Tun M panglima sekerat jalan

21 Mac: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan kesetiaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir kepada perjuangan bangsa hanyalah ‘separuh jalan’.

Tegas Idris, Tun Dr Mahathir sepatutnya mencontohi Allahyarham Tun Ghafar Baba yang tetap setia kepada parti hingga akhir hayat.

“Allahyarham Tun Ghafar yang mencipta bendera BN dan diguna pakai sehingga kini, adalah pejuang parti tulen, sekali gus menunjukkan kepada kita bahawa beliau adalah pejuang sebenar kepada agama, bangsa dan negara.

“Amat sesuai gelaran  Setia Sepanjang Hayat diberikan kepada Tun Ghafar, tidak seperti Tun Mahathir yang hanya setia ketika ada jawatan,” katanya pada majlis Jamuan BN Parlimen Jasin di Dewan Lipat Kajang pada Isnin.

Pada Februari tahun lalu, Tun Mahathir keluar daripada UMNO buat kali kedua dan kini memimpin PBBM bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata bekas wakil rakyat DAP iaitu Goh Leong San bersetuju untuk bersama kerajaan negeri bagi memberikan penerangan berkaitan isu pembangkang di negeri itu.

“Bagaimanapun, Leong San belum bersedia untuk berceramah di pentas kita, namun akan menyediakan lokasi yang sesuai bagi memberikan penerangan jelas mengenai apa yang berlaku.

“Kita gembira dengan keadaan itu, tetapi dalam masa sama tetap bersedia untuk bekerja kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” kata ADUN Sungai Udang.

 

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 21 March 2017 12:22 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]