Kategori Berita Utama

Idris Jala dilantik bantu tangani kemelut FGV

7 JUN: Kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas menangani kemelut melanda Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan petang ini berkata, Idris dilantik sebagai pihak tidak berkepentingan untuk mengemukakan bukti siasatan kes dan menyarankan penyelesaian berhubung keputusan FGV mengarahkan Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan dua pengarah kanannya bercuti, bermula semalam.

“Pelantikan Idris turut dipersetujui pihak terbabit iaitu Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad; Presiden Kumpulan dan CEO FGV, Datuk Zakaria Arshad dan CFO, Ahmad Tifli Mohd Talha,” katanya.

Semalam, krisis FGV dilihat semakin meruncing apabila empat pengurusan kanan syarikat itu dan anak syarikatnya dipaksa bercuti.

Empat yang dipaksa bercuti ialah Zakaria dan Ahmad Tifli Talha serta Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products (DOP), Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan, arahan bercuti itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan membabitkan isu tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex bagi produk DOP.

Dalam sidang media sebelum itu, Isa berkata, siasatan awal FGV mendapati wujud unsur salah laku dan tidak mengikut prosedur berkaitan isu tunggakan bayaran syarikat Safitex bagi produk DOP.

Katanya, ia susulan pendedahan siasatan audit dalaman (IA) berdasarkan audit kewangan PricewaterhouseCoopers (PwC).

Serentak itu, Isa mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah merangkumi dua pengarah FGV dan Ketua Kluster Logistik untuk menjalankan tugas Presiden Kumpulan dan CEO.

Dua pengarah berkenaan adalah Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim yang akan dibantu Ketua Kluster Logistik FGV, Azman Ahmad.

Jawatankuasa itu juga melantik Pengawal Kewangan Kumpulan Sektor Perladangan, Aznur Kama Azmir sebagai CFO sementara.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 June 2017 6:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: