Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Imigresen bantu jejaki pembunuh Imam Palestin

22 APRIL: Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Jabatan Imigresen Malaysia diarah bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Fadi M R Albatsh.

Arahan itu dikeluarkan susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mendedahkan bahawa Kerajaan Malaysia mengesyaki pembunuhan itu didalangi ejen perisikan negara yang bermusuhan dengan Palestin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya sentiasa terbuka memberikan kerjasama dengan pasukan keselamatan termasuk berkongsi data dan statistik kemasukan warga asing ke negara.

“Sudah menjadi prosedur jabatan untuk memberikan kerjasama dengan pasukan keselamatan bagi membantu siasatan kes membabitkan kemasukan warga asing ke negara terutamanya yang melakukan jenayah.

“Bagi kes ini, PASTAK dan unit perisikan imigresen akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM bagi mengenalpasti suspek, seterusnya menyelesaikan kes pembunuhan ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Fadi warga Palestin sudah 10 tahun menetap di Malaysia, mati ditembak di kawasan pejalan kaki luar sebuah kondominium dekat Jalan Gombak, Setapak, Kuala Lumpur, ketika menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh pagi semalam.

Ahmad Zahid ketika mengulas pembunuhan itu, berkata siasatan awal mendapati serangan itu dilakukan dua lelaki berkulit putih yang menaiki motosikal berkuasa tinggi jenis BMW yang melepaskan lebih 10 das tembakan menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 April 2018 6:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: