Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Inisiatif Raja Salman berjaya ubah persepsi AS- Najib

22 MEI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan inisiatif Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, mengadakan Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika berjaya mengubah persepsi Amerika Syarikat (AS) terhadap Islam.

Najib berkata, inisiatif Raja Salman dapat meyakinkan Presiden Donald Trump bahawa musuh AS bukanlah negara Islam tetapi fahaman ekstremis.

Beliau berkata, Trump juga sudah memahami bahawa sebahagian besar mangsa keganasan adalah orang Islam sendiri.

“Berdasarkan kepada ucapan Presiden Donald Trump semalam, ia menggambarkan beliau memahami hakikat sebenarnya.

“Sebab itulah Presiden Trump memilih Arab Saudi sebagai negara pertama yang dilawatinya bukan negara sekutu tradisional seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebentar tadi.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Riyadh kelmarin untuk lawatan kerja tiga hari dan menghadiri sidang kemuncak itu.

Semalam, Najib diberi penghormatan menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak itu.

Mengenai kenyataannya meminta Iran supaya memastikan tindakannya tidak dilihat sebagai mencampuri hal ehwal dalaman negara lain, Najib berkata ia adalah kenyataan berasaskan prinsip.

Beliau berkata, Malaysia berpendapat negara lain tidak boleh mencampuri urusan negara lain atau menggugat kestabilan negara lain.

“Mana-mana negara termasuk Iran perlu mematuhi prinsip ini,” katanya.

Najib berkata, peranan Malaysia dalam menangani fahaman ekstremis dan keganasan selama ini dihargai negara Islam lain.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, Malaysia dijemput menyertai Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis yang dilancarkan Raja Salman dan Trump semalam.

“Kita antara 10 negara yang dijemput menyertainya,” kata Perdana Menteri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 May 2017 11:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: